Anda di sini

Stesen pembetungan kini guna kaedah organisme mikro

Advertisement
PETER (kiri) menuang produk organisme mikro ke dalam tangki di Stesen Pembetungan Dah Yeh Villa sambil diperhatikan oleh Richard (kanan) dan Jennieve (dua dari kanan).
PETER (kiri) menuang produk organisme mikro ke dalam tangki di Stesen Pembetungan Dah Yeh Villa sambil diperhatikan oleh Richard (kanan) dan Jennieve (dua dari kanan).

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) kini menggunakan kaedah rawatan kumbahan menggunakan organisme mikro di 11 stesen pam pembetungan di sini.

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata, produk itu yang ditempah dari Amerika Syarikat (AS) diyakini mampu menyelesaikan masalah bau yang merunsingkan penduduk di sekitar Likas.

Beliau berlata, KPI juga akan menambah sekurang-kurangnya tiga lagi petugas di setiap 11 stesen pam pembetungan di seluruh Kota Kinabalu bagi memastikan kerja di stesen pam berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur.

“Kini kontraktor yang telah dilantik juga sedang membaik pulih saluran paip kumbahan yang telah pecah dan menyebabkan limpahan di sekitar Likas, sehingga menyebabkan masalah bau di kawasan berkenaan.

“Saluran paip kumbahan yang perlu dibaik pulih adalah sepanjang tiga kilometer dan ia dijangka siap dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses rawatan kumbahan menggunakan organisme mikro di Stesen Pam Pembetungan Dah Yeh Villa, Likas, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya Richard Jomiji, Ketua Penolong Pengarah Pembetungan Jennieve Peter, para pegawai kanan KPI, JKP dan wakil Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Peter berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang menjalankan kajian bagi sampel air dari stesen pam berkenaan.

“Kini, kita menggunakan organisme mikro untuk merawat kumbahan di stesen pam pembetungan berkenaan dan selepas keputusan kajian itu, kita akan berbincang mengenai cara yang lebih sesuai untuk merawat kumbahan itu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kapasiti air di Empangan Babagon masih beroperasi seperti biasa, namun hanya boleh menampung air beberapa bulan sahaja ekoran kemarau berpanjangan.

Beliau berkata masalah penurunan kadar pengeluaran air akibat kemarau yang sedang melanda telah menjejaskan beberapa kawasan di Sabah.

“Selain empangan, air graviti turut terjejas akibat kemarau. Saya juga mendapati masalah ini berlaku di kampung-kampung di kawasan pedalaman.

“Oleh itu, saya mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk menyalurkan bantuan air kecemasan kepada semua pihak terlibat.

"Namun kita ada sedikit kekangan dari segi penghantaran air kerana lori tangki tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya menerusi JANS akan terus memantau masalah itu di seluruh Sabah dan berharap berlaku hujan dalam masa terdekat.
 

  • oleh
  • Advertisement