Anda di sini

Kajian mendalam ke atas gaji, upah perlu

Advertisement
 Dua pekerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Nur Izzati Zainal, 26, (kiri) dan Roszianawaty Abdul Wahid, 36, melihat buku Belanjawanku ketika Majlis Pelancaran Belanjawanku- Panduan Perbelanjaan untuk Individu dan Keluarga di Malaysia di Kampus Pusat Pembelajaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja semalam. Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng. — Gambar Bernama
INFORMASI: Dua pekerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Nur Izzati Zainal, 26, (kiri) dan Roszianawaty Abdul Wahid, 36, melihat buku Belanjawanku ketika Majlis Pelancaran Belanjawanku- Panduan Perbelanjaan untuk Individu dan Keluarga di Malaysia di Kampus Pusat Pembelajaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja semalam. Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng. — Gambar Bernama

BANGI: Perlu ada kajian mendalam mengenai gaji dan upah pekerja dengan mengambil kira kos sara hidup, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tunku Alizakri Alias semalam.

Beliau berkata, penekanan bukanlah dengan menaikkan peratusan caruman kepada kumpulan wang simpanan itu, tetapi ke atas tahap upah pekerja.

Tunku Alizakri berkata, sumbangan majikan dan pekerja masing-masing sebanyak 12 peratus dan 11 peratus adalah yang kelima tertinggi di dunia, dan akan membawa implikasi jika dinaikkan.

“Kenaikan akan memberi impak ke atas pekerja dari segi gaji bersih, kos menjalankan perniagaan, yang merupakan isu yang agak sensitif.

“Saya tidak akan mengesyorkan kadar sumbangan dinaikkan secara mendadak sehingga satu kajian mendalam dilakukan sebelum keputusan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran panduan perbelanjaan ‘Belanjawanku untuk individu dan keluarga Malaysia, di sini semalam.

Tunku Alizakri berkata, motivasi asas untuk membangunkan Belanjawanku melibatkan masalah literasi kewangan yang rendah, kenaikan kos sara hidup dan kadar berhutang dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Panduan ini juga akan diguna pakai oleh pegawai Khidmat Nasihat Persaraan kami dalam menyediakan panduan dan nasihat kewangan sebagai pelengkap kepada perkhidmatan utama KWSP sedia ada.

“Kami menjangkakan Belanjawanku menjadi asas utama dalam mewujudkan kesejahteraan kewangan yang kukuh, yang akan meningkatkan kualiti hidup dalam jangka panjang,” katanya.

Penyelidikan terperinci projek Belanjawanku yang digunakan oleh KWSP sebagai sebahagian daripada program celik kewangan, dibangunkan oleh pasukan Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya.

Tengku Alizakri yang ditanya mengenai isu yang sedang dibincangkan antara Malaysia Airports Holdings Bhd dan AirAsia, berkata KWSP gembira kerana kedua-dua pihak telah mengambil pandangannya secara positif.

“AirAsia telah mengadakan pertemuan dengan kami, MAHB akan bertemu kami tidak lama lagi,” katanya.— Bernama

Advertisement