Anda di sini

Tujuh pelantar dimusnah, kelongsong peluru dan pukat ditemukan

Advertisement
ANGGOTA PGA memeriksa kelongsong peluru yang dijumpai berhampiran pelantar.
ANGGOTA PGA memeriksa kelongsong peluru yang dijumpai berhampiran pelantar.

SANDAKAN: Ex-Ops Belantara Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) bermula 1 Mac lepas berjaya memusnahkan tujuh pelantar pemburu haram, menjumpai tiga kelongsong peluru dan jaring dalam Hutan Simpan Kabili-Sepilok.

Komander Briged Sabah PGA SAC Datuk Zanuddian Haji Samsu Hadi berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dalam usaha membendung pemburu haram dan kecurian kayu.

“Dalam Ex-Ops Belantara ini, kita telah menjumpai tujuh pelantar pemburu haram, tiga kelongsong peluru dan jaring berukuran 200 kaki panjang bagi tujuan menangkap haiwan liar,” katanya.

Beliau berkata tujuh pelantar pemburu haram itu telah dimusnah oleh JHL Sabah dengan kerjasama JPS dan PGA.

Sementara tiga kelongsong peluru dan pukat menangkap hidupan liar dibawa ke markas Ex-Ops Belantara untuk tindakan lanjut.

Zanuddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Ex-Ops Belantara Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Hutan Simpan Kabili-Sepilok berhampiran Kampung Bambangan, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Khas yang mewakili Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah Samit haji Abd Sani, Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sandakan Hussien Muin, Pegawai Penguasa Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok Sylvia Alsisto, Pegawai Pemerintah Batalion 15 PGA Superintendan Toipi Lamat dan Ketua Kampung Bambangan Awang Ahmad.

Mengenai Ex-Ops Belantara Briged Sabah PGA, Zanuddin menjelaskan pihaknya telah berjaya menjalin hubungan baik antara PGA terutamanya dari Tiger Platun dari Batalion (BN) 15 dan BN 20 dengan pihak Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar.

“PGA Briged Sabah mempunyai lima batalion, hari ini hanya melibatkan tiga iaitu BN 16 Kota Kinabalu, BN 15 Sandakan dan BN 20 Beluran.

“Kita mempunyai dua lagi batalion iaitu BN 17 Lahad Datu dan BN 14 Tawau yang mana pada masa akan datang kita akan libatkan penyertaan mereka dalam Ex-Ops Belantara,” katanya.

Beliau berkata Briged Sabah PGA akan mengadakan Ex-Ops Belantara seperti itu lagi bagi membendung aktiviti pemburuan haram dan kecurian kayu di kawasan hutan di negeri ini.

“PGA sedia membantu pihak Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar dalam usaha mengurangkan kadar kecurian kayu dan aktiviti pemburuan haram.

“Sekiranya kita membuat operasi sendiri, kita juga akan minta kebenaran dengan Jabatan Perhutanan Sabah bagi memastikan kegiatan pemburu haram dan mencuri kayu di kawasan hutan simpan dapat dibanteras,” katanya.

Beliau menegaskan PGA juga akan bekerjasama dengan pemimpin di peringkat kampung berhampiran terutamanya di Kg Bambangan sebagai penyalur maklumat kepada pihaknya atau pihak berkuasa dalam usaha terbabit.

“Sekiranya ada tangkapan dibuat, kita akan serah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah bagi mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan Briged Sabah PGA mewujudkan satu lapang sasar di kawasan Hutan Simpan Kabili-Sepilok, Zanuddin memberitahu PGA akan mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perhutanan Sabah berhubung perkara itu.

Jika mendapat kelulusan daripada JPS, pihaknya akan membawa perkara itu kepada Ketua Polis Negara untuk digazet menjadi lapangan sasar latihan sebagai usaha meningkatkan kecekapan serta kemahiran pegawai dan anggota dalam menembak.

Beliau berkata kawasan dipohon bagi kewujudan lapang sasar itu hanya berskala kecil sahaja.

“PGA akan menjaga kawasan itu dengan baik, bukan semua orang boleh menembak di lapang sasar yang dicadangkan ini kerana ia khusus untuk latihan pasukan polis,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement