Anda di sini

'Kopeks Village' bakal disediakan, bantu tingkat kesejahteraan ahli

Advertisement
JUHAR bersalaman dengan salah seorang ahli rombongan Kopeks.
JUHAR bersalaman dengan salah seorang ahli rombongan Kopeks.

KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-pekerja Kerajaan Sabah (Kopeks) dalam perancangan menyediakan kawasan 'Kopeks Village' yang akan dilengkapi dengan pelbagai fasiliti bagi membantu meningkatkan kesejahteraan para ahlinya.

Pengerusinya Datuk Maznah Abdul Ghani berkata, kawasan itu akan menyediakan kemudahan tempat riadah, homestay, kawasan perniagaan kecil-kecilan dan ruang bagi majlis perkahwinan, seminar serta kursus untuk kegunaan ahlinya.

"Tujuan Kopeks Village ditubuhkan adalah untuk membantu mengurangkan kos sara hidup para ahli seterusnya menambah pendapatan dengan memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada anak-anak mereka.

"Ini semua demi menjaga kesejahteraan mereka, kerana visi Kopeks ialah menjadi koperasi pilihan utama penjawat awam di Sabah.

"Bagi memenuhi visi ini, fokus Kopeks bukan hanya setakat memberi pembiayaan pinjaman, pajakan kedai Islam, pasar mini, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan khairat kematian malah turut mewujudkan kawasan yang dilengkapi pelbagai fasiliti untuk para ahli," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pagi tadi.

Jelas Maznah, kunjungan berkenaan adalah untuk memberi laporan tentang perkembangan dan kejayaan Kopeks sejak tahun 2009 sehingga kini kepada Juhar.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru golongan penjawat awam yang masih muda untuk mendaftar sebagai ahli, kerana Kopeks memerlukan golongan ini untuk mengambil alih usaha berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement