Anda di sini

Kempen keselamatan jalan raya perlu ditingkatkan

Advertisement
BENNY (kanan) menyampaikan topi keledar kepada seorang penunggang motosikal.
BENNY (kanan) menyampaikan topi keledar kepada seorang penunggang motosikal.

KOTA KINABALU: Kempen keselamatan jalan raya terutamanya dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal perlu dipertingkatkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut.

Pegawai Pembangunan Masyarakat Inanam Benny Chua berkata, lebih menggusarkan apabila mendapati punca kematian penunggang dan pembonceng motosikal di Malaysia lazimnya akibat tidak memakai topi keledar dengan betul.

Katanya, penunggang motosikal dan pembonceng juga kerap kali dikesan menggunakan topi keledar yang tidak menepati spesifikasi SIRIM yang sekali gus meningkatkan potensi kemalangan maut.

“Kempen mendidik pengguna supaya lebih berwaspada mengenai keselamatan jalan raya seperti yang diadakan hari ini memainkan peranan penting dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan.

“Saya harap pengguna jalan raya lebih berdisiplin kerana kemalangan bukan saja menyebabkan masalah kepada diri sendiri tetapi juga ahli keluarga lain yang tersayang,” katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Pemakaian Helmet Selamat anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Inanam, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKJR Sabah Janet David, Pengerusi KRT Inanam Datuk Wong Thien Fook dan Pengerusi Penganjur Program Fardy Bungga.

Benny berkata, kempen kesedaran itu perlu diperhebatkan kerana ia membabitkan nyawa dan keselamatan penunggang motosikal serta pembonceng yang direkodkan sebagai kemalangan maut tertinggi di Malaysia.

Sementara itu, Janet berkata kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah penyumbang utama dalam kadar kemalangan maut.

Katanya, mengikut rekod, seramai 151 kematian dicatatkan pada tahun 2017. Sementara tu, tahun 2018 mencatatkan seramai 143 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal di Sabah.

“Kadar ini amat tinggi dan masih membimbangkan. Pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan ditetapkan termasuk menggunakan alat keselamatan seperti topi keledar yang diluluskan pihak berkuasa,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement