Anda di sini

Datuk Yap Yun Fook dilantik mentor pertanian negara

Advertisement
 Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhudin Hasan (kiri) terpegun melihat seekor ikan talapia yang dibangunkan secara besar-besaran oleh usahawan tersohor Asia Prof (Adjung) Datuk Yap Yun Fok di Kampung Agudon Keningau Sabah ketika mengetuai lawatan ke beberapa ladang yang diusahakan Yap di Keningau semalam. — Gambar Bernama
BERJAYA: Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhudin Hasan (kiri) terpegun melihat seekor ikan talapia yang dibangunkan secara besar-besaran oleh usahawan tersohor Asia Prof (Adjung) Datuk Yap Yun Fok di Kampung Agudon Keningau Sabah ketika mengetuai lawatan ke beberapa ladang yang diusahakan Yap di Keningau semalam. — Gambar Bernama

KENINGAU: Usahawan pertanian tersohor Asia Prof Adjung Datuk Yap Yun Fook sekali lagi mengharumkan nama negeri Sabah di pentas negara apabila diberikan pengiktirafan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai mentor utama usahawan Malaysia.

Ketua Setiausaha (KSU) kementerian itu Datuk Mohd Sallehhudin Hassan berkata Yap telah membuktikan kejayaan besarnya dalam industri pertanian dan perikanan dengan hanya berasaskan pengalaman.

“Yap berjaya membangunkan pelbagai industri dalam tempoh 37 tahun  meliputi pertanian, penternakan dan perikanan... kesemuanya berjaya,”

“Kepakaran beliau (Yap) bukan di bilik darjah tetapi pengalaman di ladang .. beliau (Yap) mengetahui selok-belok dalam industri ini,” katanya ketika ditemui Bernama selepas mengetuai lawatan ke beberapa ladang yang diusahakan Yap di sini, semalam.

Mohd Sallehhudin berkata bahawa kementeriannya akan menggunakan Yap untuk melahirkan usahawan-usahawan sepertinya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Turut bersama dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah Pertanian Datuk Jamal Harizan Yang Razali dan Timbalan Ketua Setuasaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Pembangunan) Datuk Salim Parlan.

Yap merupakan penerima Malaysian Livestock Industri Award 2018, Panel Bengkel Hala Tuju Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Professor Adjung Univeriti Malaysia Sabah (UMS) dan Anggota  Majlis Penasihat Pertanian Malaysia.

Mohd Sallehhudin berkata sebagai penasihat pertanian, peranan Yap sangat penting dalam  menyediakan infrastruktur pertanian di negara ini.

“Sebagai contoh daripada aspek perikanan, beliau (Yap) telah jauh lebih maju ke hadapan dalam pembangunan akuakultur ikan tilapia dan pelbagai spesis ikan air tawar di Keningau.

“Usaha yang beliau lakukan secara khusus dan terperinci belum ada dimana-mana di Malaysia... ia hanya satu-satunya di Keningau sekaligus memartabatkan Malaysia dipersada antarabangsa,” katanya.

Pandangan Mohd Salehhudin itu dikongsi oleh Jamal Harizan dengan berkata satu-satunya ladang bersepadu terbaik di negara ini berada di Bomboi Keningau Sabah yang dimiliki oleh Yap.

“Yap menghasilkan ladang mesra alam... tidak ada pembaziran kerana kesemua buangan digunakan semula untuk kegunaan pembangunan sumber yang lain,” katanya.

Jamal Harizan berkata pendekatan yang diperkenalkan oleh Yap sepatutnya dikembangkan sebagai amalan ladang bersepadu terbaik di Malaysia.

“Saya sangat bersetuju untuk beliau (Yap) dijadikan mentor atau lebih tinggi daripada itu untuk memastikan sumber makanan di negara ini dihasilkan berkualiti dengan kos yang rendah,” kata Jamal Harizan. — Bernama

Advertisement