Anda di sini

Satu lagi mayat bot karam ditemukan

Advertisement
MAYAT lelaki dipercayai mangsa bot karam ditemui sedang dimasukkan ke dalam plastik mayat oleh anggota polis marin.
MAYAT lelaki dipercayai mangsa bot karam ditemui sedang dimasukkan ke dalam plastik mayat oleh anggota polis marin.

SANDAKAN: Satu lagi mayat dipercayai mangsa bot karam ditemukan terdampar di pesisiran pantai Kampung Foresh-BDC, pagi tadi.

Mayat lelaki dewasa itu ditemukan oleh penduduk kampung sekitar sebelum menghubungi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan kira-kira jam 8.40 pagi.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata pihak PPM Sandakan kemudiannya memaklumkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan berkaitan penemuan mayat terbabit kira-kira jam 9.05 pagi.

Beliau berkata setakat ini identiti mayat lelaki dewasa itu belum dikenalpasti dan bot PPM telah membawa mayat berkenaan ke jeti PPM Sandakan sebelum dihantar ke Hospital Duchess Of Kent.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga telah disambung semula jam 7 pagi ini membabitkan Sembilan aset daripada Agensi Penguatkyasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), PPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“SAR melibatkan kekuatan 111 pegawai dan anggota meliputi kawasan pencarian seluas 187 batu nautika persegi yang dipecahkan kepada lapan sektor,” katanya.

Sebelum ini, dua mayat telah dijumpai iaitu Kimar Herman ,7, ditemui oleh Bot Kilat 37 (Maritim) lebih kurang jam 4.05 petang Jumaat dan mayat wanita berumur 42 tahun itu ditemukan seorang nelayan di kawasan perairan antara Pulau Nunuyan Laut dan Pulau Berhala kira-kira jam 12.44 tengahari Sabtu.
 
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa yang masih dikhuatiri lemas dalam kejadian bot terbalik di perairan berhampiran Pulau Nunuyan Laut, dekat Sandakan masih diteruskan.

SAR itu diaktifkan pada Jumaat dan disambung pada Sabtu selepas lima lagi mangsa diselamatkan oleh Bot Tempur CB 90H Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kira-kira jam 12.15 tengahari.

Lima mangsa yang diselamatkan dikenali sebagai Kasmer, 26, Idaris Ismail , 29, Ardamil Rodi, 22, Naijah , 19, dan Norfaida, 21 , dilihat berpaut pada bot pancung yang terbalik dan hanyut selama 18 jam akibat dipukul ombak dalam kejadian jam 6 petang pada Khamis lepas.

Bot pancung itu terbalik di perairan kira-kira lima batu nautika dari Pulau Nunuyan membawa 11 penumpang yang kesemua dipercayai warga Filipina dilaporkan dalam pelayaran dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke daerah Sandakan.

Identiti mayat mangsa yang ditemukan pagi tadi sama ada Ibrahim Januari, 27, (suami kepada Norfaida) atau Sido (tekong bot), 40. Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan yang sah dari pihak berkuasa.

Dua lagi mangsa kanak-kanak perempuan yang masih hilang  iaitu Nuraina Ibrahim berumur 1 tahun enam bulan (anak Norfaida) dan seorang lagi belum dikenalpasti identitinya berumur 8 tahun.

  • oleh
  • Advertisement