Anda di sini

Jual hasil hidupan liar: Peniaga atas talian perlu rujuk JHLS

Advertisement
ASSAFFAL ketika ditemui media. Turut kelihatan Augustine, Mohd Ayub dan Dumi.
ASSAFFAL ketika ditemui media. Turut kelihatan Augustine, Mohd Ayub dan Dumi.

LAHAD DATU: Peniaga atas talian yang menjual hasil hidupan liar diingatkan merujuk kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) untuk mendapatkan nasihat dan pematuhan undang-undang yang telah ditetapkan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assaffal P Alian berkata kerajaan tidak menghalang urusniaga yang kini menjadikan aplikasi atas talian untuk tujuan pemasaran namun sekiranya didapati bersalah mereka berdepan tindakan undang-undang.

“Menjualnya secara atas talian tiada masalah namun dapatkanlah nasihat dari segi perundangan dalam apa juga bentuk supaya apa yang mereka buat mereka tahu,” katanya kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Hari Hidupan Liar Sedunia Peringkat Negeri di Dewan Tun Mustapha, di sini hari ini.

Beliau berkata hidupan liar ada yang dilindungi undang-undang sepenuhnya dan tidak boleh diburu manakala terdapat juga haiwan liar yang boleh diburu namun perlu mendapatkan lesen perburuan yang hasilnya boleh dikomersilkan atau untuk kegunaan sendiri.

Katanya, kerajaan mengambil berat ancaman kepupusan hidupan liar yang semakin serius apabila bertambahnya kaedah penyeludupan dan perdagangan secara haram menggunakan khidmat atas talian.

“Saya mendapat laporan mengenainya dan tangkapan dibuat. Saya telah meminta pengarah untuk ambil tindakan yang tegas. Jika terbukti bersalah kita tiada pilihan, biar undang-undang mengadilinya,” katanya.

Pada perkembangan yang sama, Pengarah JHLS Augustine Tuuga berkata, satu unit khas telah ditubuhkan untuk melaksanakan risikan bagi memantau aktiviti penyeludupan dan perdagangan secara haram hidupan liar.

“Pasukan itu turut mendapat kerjasama agensi-agensi penguatkuasa yang sentiasa berkongsi maklumat sama ada untuk tindakan penguatkuasaan di darat mahu pun di laut,” katanya.

Turut serta, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dumi Pg Masdal dan Pegawai Daerah Dr Mohd Ayub Yaakub.

  • oleh
  • Advertisement