Anda di sini

Warga asing menghalang tugas penjawat awam ditahan

Advertisement
 

PENAMPANG: Seorang warga asing yang bertindak menghalang tugas penjawat awam dalam satu operasi bersepadu di sini berjaya ditahan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata suspek warga pakistan berumur 30-an ditahan selepas pihak polis menerima laporan dari pihak Majlis Daerah Penampang semasa Operasi Bersepadu pemeriksaan kedai runcit di sini.

“Kejadian awal berlaku apabila suspek diarahkan untuk menutup kedai runcitnya di Kampung Tunoh di sini selepas didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

“Suspek kemudiannya bersetuju dan menutupnya semasa operasi dijalankan, bagaimanapun pemeriksaan kali kedua oleh pasukan operasi mendapati suspek membuka semula premis terbabit dan menjalankan perniagaan seperti biasa,” katanya.

Katanya nasihat pasukan operasi tidak diendahkan suspek malah suspek berkeras dan enggan memberikan kerjasama menyebabkan berlakunya pertengkaran mulut antara mereka.

“Suspek kemudiannya ditahan selepas didapati menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement