Anda di sini

Naik minyak di restoran

Advertisement
 Stanley yang meninjau lokasi kejadian pagi semalam menunjukkan sebahagian kerusi yang dirosakkan suspek.
HANCUR: Stanley yang meninjau lokasi kejadian pagi semalam menunjukkan sebahagian kerusi yang dirosakkan suspek.
 Keadaan restoran terbabit selepas kejadian malam kelmarin.
BERSELERAKAN: Keadaan restoran terbabit selepas kejadian malam kelmarin.

SIBU: Akibat tidak puas hati makanan yang dihidang tidak seperti yang dipesan, sekumpulan lima lelaki bertindak liar dengan merosakkan pelbagai barangan di sebuah restoran di Jalan Pahlawan di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan, lima suspek lelaki berumur antara 31 dan 18 tahun berjaya ditangkap sejurus laporan polis diterima berhubung kejadian.

Katanya, kejadian sekitar jam 9.30 malam itu dipercayai berpunca daripada salah faham di antara pelayan restoran dan suspek berhubung pesanan makanan.

“Siasatan awal pihak polis mendapati tiga suspek lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol telah bertindak merosakkan barang-barang di dalam premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, pemilik restoran, 56, yang dimaklumkan pekerjanya mengenai kejadian itu bergegas ke restoran dan mendapati kesemua meja, kerusi, peti sejuk, dinding dan kaunter juruwang dirosakkan dengan anggaran kerugian RM20,000.

“Seorang pekerja lelaki mengalami kecederaan di bahagian muka dipercayai dipukul dengan penyapu,” katanya.

Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menurutnya, rakaman CCTV di tempat kejadian juga mendapati dua lagi suspek lelaki turut terlibat dengan tiga suspek terdahulu merosakkan barangan.

“Pihak polis yang bertindak atas maklumat telah berjaya mengesan dan menangkap semua suspek terbabit,” katanya dan menambah, sebatang penyapu dan sebuah kenderaan pacuan empat roda telah dirampas sebagai barang kes.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda, merusuh (Seksyen 147 Kanun Keseksaan) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Mahkamah di sini kemudian mengeluarkan perintah reman dua hari terhadap lima suspek terbabit untuk membantu siasatan.

  • oleh
  • Advertisement