Anda di sini

Sektor perindustrian lonjak ekonomi Sabah

Advertisement
 MADIUS bergambar bersama tetamu khormat lain serta pengusaha produk tempatan.
MADIUS bergambar bersama tetamu khormat lain serta pengusaha produk tempatan.

KOTA KINABALU: Sektor perindustrian dan perdagangan bakal melonjakkan ekonomi negeri Sabah dalam masa terdekat sekiranya usaha Kementerian Perindustrian dan Perdagangan (MTI) bersama kerajaan Negeri berjaya menarik pelabur.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, pelabur hanya akan melabur jika iklim pelaburan itu kondusif termasuk kewujudan kemudahan asas seperti bekalan eletrik, bekalan air dan pengangkutan seperti pelabuhan dan jalan raya.

"Dasar kabotaj yang dahulunya hanya membenarkan syarikat kapal dagang Malaysia sahaja untuk mengangkut kontena dari pelabuhan-pelabuhan Sabah kini sudah diliberalisasikan.

"Namun, biarpun sudah menjangkau dua tahun tetapi masih belum ada syarikat kapal dagang asing yang mendaftar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival One Stop Center Sepanggar anjuran Ketua Bahagian Warisan Sepanggar di 1Borneo Hypermall, di sini.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, bagi memperhebatkan usaha menarik pelabur dalam sektor pembuatan, Kerajaan Negeri sudah sekian lama mewujudkan taman-taman perindustrian.

"Kita mempunyai empat taman perindustrian iaitu, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Lahad Datu dan Sandakan, serta Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP)," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri perlu membina pelabuhan khas untuk taman-taman berkenaan dan sebaiknya memberikan kuasa untuk mereka mengoperasikannya sendiri seperti mana yang telah dilakukan oleh POIC Lahad Datu.

"Jika taman-taman perindustrian mempunyai pelabuhan dengan berbekalkan kemudahan yang kondusif sudah semestinya lebih banyak kapal dagang masuk berlabuh untuk mengangkat kontena membawa keluar produk untuk dieksport.

"Sebenarnya, apa yang perlu kita buat adalah memperhebat lagi sektor industri pembuatan. Kita guna sebaik mungkin taman-taman perindustrian ini untuk menghimpunkan para usahawan serta produk mereka," katanya.

Beliau berkata, kalau pembuatan produk dihasilkan hanya sedikit, berapa saja kontena boleh diisi? Kapal akan rasa rugi untuk singgah di pelabuhan Sabah.

Katanya, sekarang dianggarkan hanya 330,000 kontena yang keluar bagi tempoh setahun sedangkan syarikat perkapalan hanya mendapat keuntungan sekiranya kapal dapat mengangkut lebih 500,000 kontena setahun.

Madius turut mengumumkan Sabah bakal membina kilang kaca dan tayar dalam masa terdekat.

Katanya, Sabah mempunyai banyak sumber yang boleh diterokai dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin contohnya pasir untuk dibuat kaca.

Beliau juga menyarankan rakyat untuk menyokong dan membeli produk tempatan kerana ia setanding produk import malah negara maju turut mengimport teknologi dan produk Malaysia.    

Beliau turut menggesa para usahawan supaya mendapatkan pensijilan yang diperlukan agar produk yang dihasilkan menepati standard kualiti yang ditetapkan dan lebih meyakinkan pengguna.

  • oleh
  • Advertisement