Anda di sini

Piala Airmarine bukan ganti Pestabola Merdeka

Advertisement
MOHD YUSUF
MOHD YUSUF

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan penganjuran kejohanan empat penjuru, Piala Airmarine 2019 di sini, bulan depan bukan bertujuan menggantikan kejohanan berprestij, Pestabola Merdeka.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Piala Airmarine 2019 yang julung kali dianjurkan itu merupakan usaha tambahan FAM dalam memperbanyakkan perlawanan antarabangsa yang berkualiti untuk skuad kebangsaan.

Katanya, kejohanan Piala Airmarine 2019 bermula 20 hingga 23 Mac itu merupakan platform untuk memberi saingan lebih kompetitif buat skuad kebangsaan meraih seberapa banyak pendedahan dan mata untuk memperbaiki ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Kejohanan ini akan menjadi kesinambungan buat skuad kebangsaan yang telah berjaya menyinar di Piala AFF Suzuki tahun lalu untuk memulakan satu pelan pembangunan yang komprehensif dan menjadi sebagai pasukan yang disegani,” katanya pada sidang media mengenai kejohanan Piala Airmarine 2019, di sini, kelmarin.

Beliau berkata FAM masih menyimpan hasrat untuk menghidupkan semula saingan Pestabola Merdeka selepas tidak dilangsungkan selama lima tahun tetapi bukan dalam tempoh terdekat memandangkan kebanyakan negara luar tidak dapat memberi komitmen kerana berdepan jadual liga padat tahun ini.

Sebagai rekod, Pestabola Merdeka yang diperkenalkan pada 1957, dianjurkan buat kali terakhir pada 2013.

Pada saingan Piala Airmarine, Mohd Yusoff berkata pasukan di ranking ke-143 dunia, Solomon Islands akan menggantikan New Zealand untuk melengkapkan senarai empat pasukan bertanding selain Oman dan Singapura.

“New Zealand ada perlawanan pada 17 Mac dan hanya boleh tiba di sini sehari sebelum tarikh yang kita pilih. Kalau kita nak tangguh tarikh tersebut ia akan melibatkan pasukan kelab dalam negara, jadi kita terpaksa mencari pasukan lain.

“Walaupun digantikan dengan Solomon Islands, rankingnya lebih baik daripada kita jadi mereka bukan sebuah pasukan yang boleh dianggap mudah. Mereka tetap boleh beri saingan kepada skuad kebangsaan,” katanya.

Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil itu  akan menggunakan format kalah mati dengan kejohanan akan bermula seawal pusingan separuh akhir. — Bernama

Advertisement