Anda di sini

JAT kesan satu lagi kes curi air

Advertisement
PENGUATKUASA JAT melakukan operasi pemotongan paip yang dikesan disambung secara haram untuk aktiviti mencuri bekalan air.
PENGUATKUASA JAT melakukan operasi pemotongan paip yang dikesan disambung secara haram untuk aktiviti mencuri bekalan air.

TAWAU: Sebuah kediaman persendirian dikesan melakukan penyambungan paip secara haram untuk mencuri air di Taman Guan Soon Jalan Tg Batu, di sini hari ini.

Jurutera Air Bahagian Tawau Asabri Robensen berkata penguatkuasa Jabatan Air Tawau (JAT) mengesan perbuatan itu hasil daripada maklumat awal yang diterima.

“Hasil siasatan, kita dapati ada penyambungan haram daripada paip berukuran 3/4 inci yang disambungkan terus ke rumah terbabit,” katanya kepada media di sini.

Beliau berkata penguatkuasa JAT melakukan pemotongan penyambungan haram berkenaan dalam operasi yang dijalankan dari jam 1.50 petang sehingga 2.50 petang.

Katanya, tindakan pemotongan itu dilaksanakan menerusi peruntukan mengikut Seksyen 53 Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah (EBANS) 2003.

“Kita turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada pengguna terlibat dan diharap semua pengguna dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Asabri berkata, individu atau syarikat yang dikenakan kompaun perlu menjelaskan bayaran masing-masing atau bakal berhadapan tindakan undang-undang.

Katanya langkah membayar kompaun juga perlu dilakukan untuk mengelak daripada proses lebih sulit jika melakukan permohonan penyambungan meter baharu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kes kecurian atau kebocoran paip air diharap segera melaporkan aduan ke talian 0195354600 atau 089761057,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement