Anda di sini

221,026 tan beras diimport setahun

Advertisement
DAUD merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian peserta dalam majlis itu.
DAUD merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian peserta dalam majlis itu.

KENINGAU: Sebanyak 221,026 tan beras yang dianggarkan bernilai RM376 juta telah diimport ke negeri Sabah bagi memenuhi bekalan beras dalam setahun.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Daud Yusof berkata, Sabah ketika ini hanya berupaya mengeluarkan 80,000 hingga 100,000 tan beras daripada padi sawah dan padi bukit di negeri ini.

"Padi sawah menyumbang 80 hingga 90 peratus daripada jumlah pengeluaran manakala selebihnya adalah daripada beras padi bukit.

"Keperluan purata beras negeri Sabah ialah 387,518 tan setahun manakala penggunaan purata ialah 305,724 tan setahun dengan kadar purata perkapita 82kg/orang/tahun bagi menampung penduduk seramai 3.87 juta orang (2017)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Kursus Teknologi Peningkatan Hasil Padi Ke Arah 10t/Ha anjuran bersama Jabatan Pertanian Sabah dan IADA Kota Belud, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Daud percaya satu kaedah diperlukan bagi mempercepatkan serta menggandakan pengeluaran padi di Sabah dengan mengaplikasikan pengunaan teknologi terkini yang sesuai.

Jelas beliau, antara teknologi yang boleh digunapakai ialah seperti penggunaan benih berpenghasilan tinggi HYV seperti TR8, TR9, TR10 dan lain-lain benih yang disyorkan oleh kerajaan.

"Kita berharap dalam masa terdekat DOA atau Mardi akan dapat menghasilkan varieti padi yang bukan sahaja berpenghasilan tinggi tetapi juga tahan keadaan persekitaran seperti tahan kemarau, tahan rebah, tahan banjir, tahan keadaan masin serta rintang terhadap serangan penyakit dan serangga perosak.

"Kita juga berharap agar para penyelidik kita dapat menghasilkan varieti padi yang cepat matang iaitu 80 hingga 90 hari agar kita boleh menanam tiga kali setahun atau menghasilkan varieti padi yang boleh dituai dua atau tiga kali, atau lebih dengan hanya menanam sekali sahaja," katanya.

Justeru, katanya, kerajaan akan sentiasa memastikan bekalan beras mencukupi selain memastikan harga beras berpatutan dan stabil sepanjang waktu termasuk menjamin kualitinya.

  • oleh
  • Advertisement