Anda di sini

PIBG penting dalam melahirkan pelajar berkualiti

Advertisement
ABDUL Rahman melancarkan Kempen Derma Buku sempena majlis itu.
ABDUL Rahman melancarkan Kempen Derma Buku sempena majlis itu.

BEAUFORT: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu memainkan peranan dalam membantu mewujudkan sekolah cemerlang sekali gus melahirkan generasi pelajar berkualiti bagi mewarisi kepimpinan negara di masa hadapan.

Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri Abdul Rahman Yakub berkata, kerjasama dan hubungan rapat antara guru dan ibu bapa merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kecemerlangan pelajar.

Jelas beliau, sesebuah sekolah tidak boleh bergerak sendiri untuk maju ke depan tanpa sokongan daripada ibu bapa.

“Tanpa sokongan ibu bapa, hasrat untuk melihat lebih ramai pelajar cemerlang dilahirkan tidak akan tercapai.

“Oleh demikian, hubungan dua hala antara pihak sekolah dan PIBG perlu terus diperkasa dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menangah Kebangsaan Kota Klias dan penyampaian bantuan awal persekolahan, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengetua SMK Kota Klias Haji Mohd Saffie Md Haji Salleh, Pengerusi PIBG SMK Kota Klias Jandi Asar dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Beaufort Zabar Awang Damit.

Abdul Rahman yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Baitul Maal Negeri Sabah berkata, kerjasama ibu bapa dan guru dalam membincangkan hal sekolah berkaitan pendidikan anak mereka adalah pen­ting supaya pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.

Selain itu, ujarnya, PIBG dapat membantu pihak sekolah menganjurkan sesuatu aktiviti serta memainkan peranan dalam menggalakkan anak mereka menyertai aktiviti sekolah.

Menurutnya, memang tidak dapat dinafikan peranan dan tanggungjawab PIBG memberi kesan kepada kemajuan dan pencapai­an sekolah kerana persatuan ber­kenaan menjadi medium untuk mencetuskan hala tuju dan matlamat sekolah ke arah kecemerlang­an pendidikan.

“Kecemerlangan sesebuah orga­nisasi atau persatuan amat bergantung kepada elemen yang perlu digerakkan secara bersama,” tambahnya.

Katanya, melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), Kementerian Pendidikan turut memperkenalkan program bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pembelajaran anak.

Pada majlis itu, Abdul Rahman turut melancarkan Kempen Derma Buku.

  • oleh
  • Advertisement