Anda di sini

KPLB sasar semua kampung luar bandar nikmati bekalan air bersih, elektrik

Advertisement
EWON menyampaikan bantuan peralatan sukan kepada salah seorang wakil persatuan belia akar umbi Daerah Kota Belud.
EWON menyampaikan bantuan peralatan sukan kepada salah seorang wakil persatuan belia akar umbi Daerah Kota Belud.

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyasarkan semua kampung luar bandar di seluruh negeri ini akan menikmati kemudahan bekalan air dan elektrik menjelang tahun 2035.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, selain itu kerajaan bertekad untuk membina lebih banyak rumah baharu Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan menaiktaraf jalan-jalan luar bandar yang masih dalam keadaan daif.

“Semua sasaran itu telah dimasukkan dalam 10 Bidang Keberhasilan Utama dan 316 petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian yang dilancarkan pada 6 Disember 2018.

"Bagi mencapai sasaran itu, kita perlu merangka pelan strategik selaras dengan keadaan semasa kerana bajet kerajaan negeri dan Persekutuan adalah terhad.

"Maka kita mengalu-alukan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat korporat untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu dan seterusnya melengkapkan usaha kerajaan mencapai sasaran itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Penutupan Program Teras Pembangunan Belia Daerah Kota Belud di Dataran Rez Perdana Paka-Paka, di sini hari ini.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah tahun 1998 tidak lagi relevan kepada pendekatan semasa kerajaan negeri, maka KPLB kini dalam proses untuk membuat semakan dan mengemaskini pelan strategik itu.

"Saya berharap pengemaskinian Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah dapat disiapkan dan diumumkan tahun ini," katanya.

Katanya, Pelan Strategik Pembangunan Luar Sabah telah disediakan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) pada tahun 1998 dan "selepas saya diberi amanah untuk menerajui KPLB Sabah, antara lain yang kita lihat ialah dasar semasa kerajaan dan pelan pembangunan kerajaan".

"Dalam tahun ini, kita akan melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar Nasional yang akan diumumkan di peringkat persekutuan dan dasar-dasar itu telah kita semak, dan KPLB Sabah telahpun mengadakan bengkel untuk memberikan input berkaitan.

"Sudah tentu apabila ia dilancarkan, maka kita akan melihat bagaimana dasar itu dapat dilaksanakan di Sabah, sebab itu kita mengadakan Bengkel Hala Tuju KPLB Sabah baru-baru ini untuk menyemak Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah yang telah dibuat 21 tahun lalu dan sememangnya ada keperluan kita untuk mengemaskinikannya," katanya.

Mengenai program itu, Ewon berkata pengisian program itu dapat membantu Kampung Paka-Paka mempromosikan eko pelancongan dan kawasan-kawasan menarik yang berpotensi sebagai tarikan pelancong ke kampung itu.

Turut hadir, Ketua Unit Pembangunan Sosial dan Hak Upaya Persatuan, Kementerian Belia dan Sukan Sabah merangkap Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Belud Sabdali Yusof dan Pengerusi Pusat Sukarelawan Kebajikan Negeri Sabah Ithong Terang.

Advertisement