Anda di sini

Bangun sistem jualan ikan terus dari laut: Salahuddin

Advertisement
 Salahuddin (kanan) melawat gerai jualan sempena Program Kecemerlangan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di Laman Perikanan, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), semalam. — Gambar Bernama
TARIKAN: Salahuddin (kanan) melawat gerai jualan sempena Program Kecemerlangan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di Laman Perikanan, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), semalam. — Gambar Bernama

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membangunkan satu sistem yang membolehkan hasil tangkapan nelayan boleh dijual ketika mereka masih berada di lautan.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata inisiatif itu merupakan antara langkah yang diambil kementerian dalam meningkatkan pendapatan nelayan sebagaimana yang digariskan dalam pelan hala tuju meningkatkan pendapatan golongan itu.

Beliau berkata sistem itu, apabila siap kelak akan melengkapkan kegunaan aplikasi paparan harga ikan yang dimiliki Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Sistem ini membolehkan nelayan yang turun ke laut menjual hasil tangkapan tanpa perlu menunggu sehingga mendarat seperti amalan sebelum ini.

“Dengan bantuan aplikasi harga pasaran yang dimiliki LKIM, nelayan boleh mengenal pasti harga semasa ikan dan terus menjualnya melalui sistem yang dibangunkan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi pertemuan bersama ejen-ejen pengembangan perikanan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Perikanan Datuk Dr Bah Piyan Tan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini semalam.

Salahuddin berkata pengenalan sistem itu juga antara lain bertujuan mengatasi isu orang tengah yang sering memanipulasi harga ikan dan merugikan para nelayan.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata pihaknya kini berusaha menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mengawasi kawasan perikanan daripada dicerobohi nelayan haram.

Beliau berkata perkara mengenai ancaman dan kebimbangan pencerobohan Zon A secara berterusan itu telah dibangkitkannya untuk perhatian kerajaan dalam beberapa mesyuarat jemaah menteri.

Bagaimanapun, katanya cadangan itu memerlukan perbincangan lanjut dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana melibatkan aspek penguatkuasaan dan keselamatan selain sebagai kementerian yang menaungi pasukan RELA.

Secara prinsipnya, idea ini telah dibincangkan bersama menteri KDN, dan ia akan disusuli dengan perbincangan lebih serius selepas ini, katanya.

Mengenai pegawai pengembangan perikanan, Salahuddin mahu ejen yang rapat dengan golongan nelayan di akar umbi itu dapat meningkatkan pengetahuan, khususnya berkaitan penggunaan teknologi terkini. — Bernama

Advertisement