Anda di sini

Tanah perkuburan Berawan antara kawasan musnah akibat dakwaan penerokaan syarikat

Advertisement
 Penduduk kampung menunjukkan antara perkuburan lama nenek moyang mereka yang telah musnah akibat dakwaan penerokaan syarikat perladangan.
MUSNAH: Penduduk kampung menunjukkan antara perkuburan lama nenek moyang mereka yang telah musnah akibat dakwaan penerokaan syarikat perladangan.

MIRI: Tanah perkuburan nenek moyang masyarakat Berawan di Taang Jia’an di sepanjang Sungai Tutoh adalah antara kawasan yang musnah akibat dakwaan penerokaan oleh sebuah syarikat perladangan.

Apa yang dikhuatirkan masyarakat tersebut ialah tindakan itu boleh mengganggu semangat nenek moyang yang telah lama dikebumikan di kawasan tersebut.

Salah seorang penduduk Long Terawan Mulu, Dennis Along berkata, ini merupakan antara perkara serius yang terpaksa dihadapi penduduk kampung tersebut akibat daripada dakwaan penerokaan kawasan tanah berhampiran Taman Negara Mulu.

“Pencerobohan dan memusnahkan kubur lama nenek moyang adalah perkara yang sangat serius kerana menyentuh adat masyarakat Berawan.

“Syarikat itu sepatutnya melakukan beberapa penyiasatan (kajian) di lapangan dahulu sebelum memasuki kawasan perkuburan dan mengelak kejadian seperti ini daripada berlaku,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau menambah, masyarakat Berawan tempatan yang dilantik untuk mengendalikan projek itu sepatutnya memberi amaran kepada syarikat terbabit supaya tidak mengganggu semangat nenek moyang yang telah lama meninggal dunia.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan mengenai masalah bekalan air yang terpaksa dihadapi penduduk yang mendiami 92 pintu rumah panjang Long Terawan.

“Kita mempunyai masalah gangguan bekalan air yang kerap dan kuantiti air yang tidak mencukupi untuk kegunaan orang ramai.

“Walaupun syarikat berkenaan ada melantik kontraktor dari masyarakat Berawan tempatan untuk mengatasi masalah itu, namun masalahnya terus berlanjutan,” katanya.

Ujar Dennis lagi, beliau berharap kerajaan negeri dapat membantu menyelesaikan dengan segera mengenai dakwaan pencerobohan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) berhampiran Taman Negara Mulu yang memberi kesan langsung kepada penduduk Long Terawan.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon dan beberapa penduduk kampung Long Terawan, Mulu.

Advertisement