Anda di sini

Sarawak laungkan amaran awal

Advertisement
 Mohd Farhan (tiga kiri) memberi taklimat kepada pemain-pemain sebelum memulakan sesi latihan di Stadium Negeri, Kuching semalam.
SUNTIK SEMANGAT: Mohd Farhan (tiga kiri) memberi taklimat kepada pemain-pemain sebelum memulakan sesi latihan di Stadium Negeri, Kuching semalam.

KUCHING: Sarawak melaungkan amaran awal tidak akan memberi laluan mudah kepada Sabah pada pertemuan ‘Borneo Derby’ Liga Premier 2019 di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini petang ini.

Pengurus Pasukan, Hamzah Brahim berkata semua pemain diminta melupakan episod kekalahan minggu lalu dan harus memberikan fokus sepenuhnya untuk memburu tiga mata penuh pada perlawanan ini.

“Kita tidak akan memberi laluan mudah kepada Sabah membawa balik sebarang mata walaupun sedar bahawa pasukan itu berada pada prestasi terbaik ketika ini.

“Semua pemain kita begitu bersemangat semasa latihan dan tidak sabar untuk mengharungi perlawanan menentang pasukan jiran, Sabah di laman sendiri Sabtu ini (hari ini),” katanya ditemui di sini semalam.

Bagaimanapun, Hamzah mengingatkan semua pemainnya jangan terlalu yakin sehingga memakan diri sendiri dalam keghairahan memburu kemenangan.

Katanya, Sabah merupakan pasukan yang bagus dan pasti mereka tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

“Semua pemain perlu fokus sepanjang 90 minit permainan dan paling penting mereka tidak mensia-siakan setiap peluang yang dimiliki,” jelasnya.

Beliau percaya kemenangan pasti berpihak kepada Sarawak jika semua pemain dapat mengadaptasi apa yang direncanakan oleh jurulatih ketika latihan.

Sarawak akan turun tanpa khidmat dua pemain utama iaitu Abdul Rahim Abdul Razak dan Benedict Martin yang masih bergelut dengan kecederaan.

“Kedua-dua pemain terbabit tidak akan diturunkan kepada masih mengalami kecederaan. Apapun, kita masih mempunyai ramai pemain yang boleh menggalas tugas ditinggalkan mereka,” kata Hamzah.

Justeru, beliau percaya ketua jurulatih Sarawak, Mohd Farhan Abdullah pastinya menconggak percaturan terbaik untuk menghampakan skuad Sang Badak di Stadium Negeri Kuching petang ini.

Perlawanan kedua-dua pasukan akan bermula jam 4.15 petang ini.

  • oleh
  • Advertisement