Anda di sini

MPWS sentiasa perkasa golongan wanita Sabah

Advertisement
WAKIL Jawatankuasa MPWS Media, Marryan Razan menerima sijil penghargaan dari Norazlinah (tiga dari kiri).
WAKIL Jawatankuasa MPWS Media, Marryan Razan menerima sijil penghargaan dari Norazlinah (tiga dari kiri).

KOTA KINABALU: Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) sentiasa memperkasa golongan wanita di negeri ini dari pelbagai sudut, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong.

Menurutnya, tugas organisasi tersebut amat penting dalam melaksana dasar serta program yang memberi faedah kepada wanita di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

"MPWS secara dasarnya ditubuhkan dengan objektif menggalak, memudahkan dan meningkatkan peluang-peluang penyertaan wanita dalam pembangunan sosio-ekonomi Sabah.

"Mereka bertindak sebagai penyelaras, badan penasihat dan perunding kepada kerajaan negeri yang berkaitan dengan isu-isu wanita di Sabah.

"MPWS juga bertindak sebagai perantara di antara kerajaan negeri dengan pertubuhan-pertubuhan wanita bukan kerajaan (NGO)," katanya dalam teks ucapan yang disampaikan Pembantu Menterinya, Norazlinah Arif dalam Majlis Malam Penghargaan MPWS sesi 2017-2018 di sini, pada Jumaat malam.

Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang yang lebih mencabar dan melibatkan kemahiran tertentu bersesuaian dengan arus perubahan teknologi yang semakin pesat.

"Melalui tujuh jawatankuasa MPWS iaitu ekonomi, gender, pendidikan, sosial, media, kesihatan dan undang-undang, kita memberi kesedaran dan ilmu pengetahuan bahawa wanita bukan sekadar perlu keluar dari kepompong yang membelenggu fungsi dan pemikiran mereka, tetapi harus bergerak maju seiring dengan kemajuan negara dalam era pembangunan global," jelas Stephen.

Beliau berharap agar semua pihak bekerjasama membangkitkan semangat wanita untuk terus terlibat dalam pembangunan negeri dan negara, menjadi penyuntik semangat serta pendorong kepada kemajuan bersama seterusnya memperkukuhkan komitmen yang sedia ada.

Hadir sama, mantan Pengerusi MPWS Sesi 2017-2018 Datuk Dr Tarsiah TZ Taman dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa), Masturah Jamrah.

  • oleh
  • Advertisement