Anda di sini

Arsenal dan Chelsea mara ke peringkat 16 pasukan terakhir

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Europa peringkat 32 pasukan terakhir di antara Chelsea dan Malmo di Stamford Bridge, London. — Gambar Reuters
PENUH SAINGAN: Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Europa peringkat 32 pasukan terakhir di antara Chelsea dan Malmo di Stamford Bridge, London. — Gambar Reuters

PARIS: Arsenal dan Chelsea mara ke peringkat 16 terakhir Liga Europa kelmarin selepas The Gunners menewaskan BATE Borisov 3-0 dan pasukan bermasalah Maurizio Sarri mengurangkan sedikit tekanan ke atasnya dengan jumlah jaringan yang sama ke atas Malmo.

Selepas ketinggalan 1-0 di Belarus, Arsenal mengikat agregat selepas hanya tiga minit sahaja apabila Zakhar Volkov menolak hantaran lintang rendah Pierre-Emerick Aubameyang melepasi Denis Scherbitski ke dalam gawangnya sendiri.

Pasukan Unai Emery sewajarnya layak hasil dua tandukan kencang daripada Shkodran Mustafi dan Sokratis sebelum dan selepas waktu rehat yang meletakkan mereka ke dalam undian semalam (Jumaat).

“Kami mahukan keputusan ini tetapi kami juga mahu bermain untuk penyokong kami di sini. Kami melakukan yang terbaik untuk bangkit (dalam perlawanan) dan pasukan bekerja dengan sangat baik,” kata Emery kepada BT Sport.

Di depan 2-1 dari pusingan pertama di Sweden, Chelsea terpaksa menunggu sehingga minit ke-10 selepas waktu rehat untuk tanda keterujaan pertama, apabila Olivier Giroud menolak masuk gol penentuan dalam perlawanan yang hambar di Stamford Bridge.

Ross Barkley memastikan kemenangan dengan tendangan percuma yang hebat pada minit ke-74, sejurus selepas pemain Malmo, Rasmus Bengtsson, dibuang dari padang bagi kesalahan kad kuning keduanya, sebelum Callum Hudson-Odoi, 18 tahun, menggunakan peluang sebaik mungkin selepas diberi peluang untuk memulakan perlawanan dengan merembat masuk gol ketiga.

“Pemain benar-benar bermain dengan baik pada hari ini. Kami berusaha gigih sepanjang perlawanan,” kata Hudson Odoi yang menjadi sasaran Bayern Munich pada Januari lepas.

Napoli bimbingan Carlo Ancelotti mencatatkan kemenangan 2-0 yang mudah ke atas FC Zurich yang menyaksikan mereka menang dengan agregat 5-1, manakala Inter Milan mara dengan keputusan 5-0 selepas menyumbat empat gol melepasi Rapid Vienna tanpa balas di San Siro.

Kelab Perancis, Rennes, mara ke peringkat 16 terakhir di kejohanan utama Eropah buat pertama kali selepas memenangi perlawanan yang mungkin paling menghiburkan pada pusingan ini dengan agregat 6-4 ekoran kemenangan 3-1 yang rancak di Real Betis.

RB Salzburg, Dinamo Zagreb dan Zenit Saint Petersburg semua mengatasi defisit pada pusingan pertama, dengan Salzburg dari Austria yang membelasah Club Brugge 4-0 untuk mara 5-2 manakala juara Croatia, Dinamo menang dengan agregat 4-2 seleaps kemenangan 3-0 yang rancak ke atas Viktoria Plzen.

Zenit mengatasi Fenerbahce 3-1 di Rusia, Magomed Ozdoev dan Sardar Azmoun memberikan kelebihan agregat kepada pasukan tuan rumah sebelum Mehmet Topal meletakan kelab Turki itu di hadapan berdasarkan jaringan di tempat lawan sejurus sebelum waktu rehat.

Bagaimanapun, dalam penampilan sulungnya di tempat sendiri untuk Zenit, pemain antarabangsa Iran, Azmoun, meledakkan gol sekali lagi 14 minit sebelum tamat untuk membantu pasukan Sergei Semak mara.

Pablo Fornals membantu Villarreal mengatasi Sporting Lisbon dengan satu rembatan cantik yang memberikan kelab La Lig itu keputusan seri 1-1 pada malam itu dan kemenangan 2-1 pada keseluruhannya, manakala Benfica mudah melepasi Galatasaray 2-1 selepas keputusan seri tanpa jaringan di Portugal.

Krasnodar mengejutkan kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen, dengan keputusan seri 1-1 yang menyaksikan mereka mara berdasarkan jaringan di tempat lawan.

Eintracht Frankfurt menyelamatkan maruah Jerman dengan mengatasi Shakhtar Donetsk dengan kemenangan 4-1 yang mengujakan untuk memberikan kemenangan agregat 6-3 kepada pasukan itu.

Penyertaan Scotland di Eropah berakhir selepas Celtic yang bermain dengan 10 orang kecundang 1-0 di Valencia, yang sudah pun mendahului 2-0 dari pusingan pertama di Glasgow dan menang di Sepanyol hasil jaringan Kevin Gameiro pada minit ke-70. — AFP

Advertisement