Anda di sini

Rumah Tchee Foh Hin, bapa mangsa letupan sedang dibina

Advertisement
 Yong menunjukkan gambar yang diambil di tapak pembinaan rumah baharu Tchee di Lorong 10A, Skim Penempatan Semula Stampin.
DIBINA: Yong menunjukkan gambar yang diambil di tapak pembinaan rumah baharu Tchee di Lorong 10A, Skim Penempatan Semula Stampin.

KUCHING: Rumah baharu untuk Tchee Foh Hin, yang anaknya terkorban dalam letupan di CityONE Megamall pada Disember lalu, kini sedang dibina.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong, kerja pembinaan rumah Tchee di Lorong 10A, Skim Penempatan Semula Stampin telah dimulakan sejak beberapa hari lalu.

“Saya pergi melawat tapak pembinaan rumah tersebut semalam (Rabu) bersama Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Tiong Ling Hii dan kami dapat melihat kerja pembersihan tapak sedang giat dijalankan.

“Anggota bomba bekerja keras untuk menyiapkan projek ini dan sekiranya cuaca mengizinkan, rumah ini dijangka dapat disiapkan dalam dua bulan lagi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini, semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen baru-baru ini mengumumkan bahawa pembinaan rumah untuk Tchee itu akan dilaksanakan oleh bomba secara sukarela di bawah program Rumah Sejahteraku.

Rumah konkrit yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, tandas, bilik mandi, dapur dan tempat letak kereta, dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 430 meter persegi yang diterima Tchee hasil bantuan Kerajaan Sarawak.

Advertisement