Anda di sini

Polis rampas 283 komponen, 151 senjata api tiruan

Advertisement
SEBAHAGIAN dari senjata api tiruan pelbagai jenis yang dirampas di dalam sebuah kedai tingkat satu sebuah pusat beli belah di sini.
SEBAHAGIAN dari senjata api tiruan pelbagai jenis yang dirampas di dalam sebuah kedai tingkat satu sebuah pusat beli belah di sini.

KOTA KINABALU: Polis berjaya merampas sejumlah 151 senjata api pelbagai jenis beserta 283 unit komponennya yang dianggarkan bernilai RM60,000 di sebuah kedai dalam satu serbuan pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu dilaksanakan selepas sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Cawangan Perlesenan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu melakukan pemantauan terhadap premis di tingkat satu pusat beli-belah di sini.

“Pemeriksaan awal terhadap kedai terbabit berjaya menemukan pelbagai jenis senjata api tiruan dengan komponennya sekali.

“Hasil risikan turut menemukan bekalan senjata api tiruan yang disimpan di dalam stor di tingkat dua bangunan berkenaan selepas anggota kita mengekori penjaga kedai terbabit ke sana,” katanya.

Tambahnya kesemua barangan termasuk 151 set senjata api pelbagai jenis dan 283 komponen senjata yang dianggarkan bernilai RM60 ribu kemudiannya dirampas dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan selanjutnya.

HABIBI.
HABIBI.

Katanya seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun yang dipercayai penjaga premis turut ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sebanyak RM5,000, atau kedua-duanya sekali.

Habibi turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyimpan, memiliki atau menjual apa-apa senjata api tiruan berikutan perbuatan terbabit menyalahi undang-undang.

Beliau juga meminta orang ramai untuk melaporkan segera kepada pihak polis jika melihat mana-mana individu atau kumpulan membawa senjata api di tempat awam.

  • oleh
  • Advertisement