Anda di sini

Tak cukup duit untuk kahwin, anggota tentera buat wang palsu

Advertisement
Suspek menunjukkan kepada polis mesin cetak yang digunakan untuk menghasilkan wang palsu

SIBU: Tindakan seorang anggota tentera yang mendakwa menerima wang palsu berjumlah RM4,000 dari sebuah Mesin Juruwang Automatik (ATM) membawa padah apabila ditahan polis kerana membuat laporan palsu pada Sabtu.

Lelaki, 28, membuat laporan polis sekitar 12.36 tengah hari mendakwa wang yang dikeluarkan dari ATM sebuah bank di Jalan Kampung Nyabor di sini adalah palsu dengan harapan pihak bank dapat menggantikan wang disyaki palsu berjumlah RM4,000.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit (gambar), lelaki berkenaan menyerahkan wang berkenaan kepada tunang sebagai persiapan perkahwinan mereka namun wanita berkenaan mendapati wang kertas tersebut mencurigakan, sebelum menasihatnya untuk membuat laporan polis.

Bagaimanapun hasil siasatan katanya, mendapati laporan polis dibuat olehnya yang mendakwa wang sebanyak RM4,000 diperoleh dari transaksi pengeluaran dari mesin ATM adalah tidak benar.

"Suspek mendedahkan wang RM4,000 tersebut adalah dibuat olehnya sendiri dengan cara membuat salinan dengan mesin cetak.

"Suspek terpaksa berbuat demikian kerana terdesak untuk perbelanjaan perkahwinan pada 30 Mac," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Stanley berkata, lelaki itu yang ditangkap sekitar pukul 7.15 malam pada hari sama mendedahkan dia membuat salinan wang palsu itu di pejabat kem tentera di sini pada awal Februari.

Polis turut merampas seunit mesin cetak yang digunakan oleh suspek untuk membuat salinan wang palsu.

Suspek direman empat hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan.
 

  • oleh
  • Advertisement