Anda di sini

‘Ternyata seorang wanita’ jawapan Semenya buat persoalan daripada IAAF

Advertisement
 Caster Semenya ketika beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018. — Gambar AFP
JELAS: Caster Semenya ketika beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018. — Gambar AFP

JOHANNESBURG: Juara 800 meter Olimpik dari Afrika Selatan, Caster Semenya kelmarin berkata dia ‘ternyata seorang wanita’ selepas Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) menafikan laporan bahawa dia harus diklasifikasikan sebagai lelaki dari segi biologi.

Semenya, 28, mengeluarkan kenyataan menjelang perbicaraan bersejarah di Mahkamah Timbang Tara (CAS) pada minggu depan yang akan mencabar peraturan yang dicadangkan oleh IAAF dengan tujuan untuk menghadkan tahap testosteron dalam pelari wanita.

“Cik Semenya ternyata seorang wanita. Dia seorang heroin dan inspirasi kepada ramai di seluruh dunia,” peguamnya menyebut dalam satu kenyataan.

“Dia meminta agar dia dihormati dan dilayan seperti mana-mana atlet lain.”

Peraturan itu akan memaksa apa yang dipanggil atlet “hiperandrogenik” atau mereka dengan “kelainan perkembangan seksual” (DSD) untuk menghadkan tahap testosteron di bawah jumlah yang disarankan.

Peraturan itu sepatutnya dilaksanakan pada November 2018 tetapi dibekukan sementara menunggu perbicaraan pada minggu depan.

Disokong oleh Persekutuan Olahraga Afrika Selatan, juara Olimpik sebanyak dua kali dalam acara 800 meter (2012, 2016) dan juara dunia tiga kali (2009, 2011, 2017) itu mengecam cadangan itu.

“Saya hanya mahu berlari secara semula jadi, cara saya dilahirkan. Ia tidak adil bahawa saya diberitahu saya mesti berubah. Ia tidak adil bahawa orang mempertikaikan siapa diri saya,” dia pernah berkata pada masa lalu.

“Dia mengalu-alukan kesempatan untuk menjawab IAAF di perbicaraan CAS yang akan datang,” kata pasukan guaman Semenya, dan menambah “anugerah genetiknya harus diraikan, bukan didiskriminasikan”.

Selain Semenya, pemenang pingat perak dan pingat gangsa acara 800 meter di Olimpik Rio, Francine Niyonsaba dari Burundi dan Margaret Wambui dari Kenya, turut berdepan dengan soalan tentang tahap testosteron mereka.

“IAAF tidak mengklasifikasikan mana-mana atlet DSD sebagai lelaki,” IIAF menyebut dalam satu kenyataan.

“Untuk memelihara pertandingan yang adil dalam kategori wanita, atlet DSD perlu diwajibkan untuk mengurangkan testosteron mereka ke tahap wanita.”

Seorang jurucakap CAS mengesahkan kepada AFP kelmarin bahawa perbicaraan berkenaan dijadualkan pada minggu depan di Lausanne dari Isnin hingga Jumaat dan Semenya dijangka hadir. — AFP

Advertisement