Anda di sini

AirAsia sediakan ‘Fly-Thru’ Kuching-Shenzhen

Advertisement
 Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Datu Salleh Askor (dari kiri) Riad, Lee dan Setiausaha Tetap Kementerian Hii Chang Kee mengadakan pertemuan di AirAsia RedQ, Sepang.
KERJASAMA: Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Datu Salleh Askor (dari kiri) Riad, Lee dan Setiausaha Tetap Kementerian Hii Chang Kee mengadakan pertemuan di AirAsia RedQ, Sepang.

KUCHING: Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia menyediakan perkhidmatan ‘Fly-Thru’ sebagai sebahagian daripada Kempen Melawat Sarawak bersama Kementerian Pelancongan Sarawak dan Lembaga Pelancongan Sarawak.

Menurut kenyataan akhbar semalam, AirAsia telah mengesahkan komitmen berkenaan untuk menyokong Sarawak dalam usahanya mempromosikan Kuching sebagai salah satu destinasi utama di Malaysia.

“Justeru, AirAsia terus menyediakan laluan Fly-Thru Kuching-Shenzhen melalui Kuala Lumpur.

“Perkhidmatan Fly-Thru AirAsia juga menghubungkan Kuching dan destinasi lain di Sarawak ke lebih daripada 60 bandar raya di seluruh rangkaian AirAsia termasuk China.

“Fly-Thru membolehkan tetamu berhubung dengan mudah dan lancar, tanpa kerumitan mengumpul barang mereka semasa melalui hab AirAsia di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu,” katanya.

Pada masa sama, Menteri Muda Pelancongan Sarawak Datuk Lee Kim Shin juga berkata bahawa pihaknya amat menghargai hubungan baik, kerjasama dan komitmen pihak AirAsia dengan menyediakan laluan penerbangan dari China ke Sarawak.

Pihak AirAsia mempunyai enam pesawat yang ditempatkan di Sarawak yang diuruskan oleh seramai 400 pekerja termasuk juruterbang, kru kabin dan kakitangan operasi.

“Melalui perkongsian itu dengan Kementerian Pelancongan Negeri dan Lembaga Pelancongan Sarawak, kami berharap dapat melihat lebih banyak pelancong  melawat ‘Land of the Hornbill’,” tambah Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat semalam.

Ujarnya lagi, dalam tempoh tiga bulan terakhir yang lalu, AirAsia juga telah memperkenalkan tiga laluan baharu antara Sarawak dan Sabah termasuk Kuching ke Tawau dan Sibu serta Bintulu ke Kota Kinabalu.

AirAsia kini terbang ke 12 destinasi langsung dari Kuching, termasuk Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kota Bharu, Johor Bahru, Bintulu, Langkawi, Pulau Pinang, Sibu, Tawau, Miri, Pontianak dan Singapura.

Dengan perkhidmatan Fly-Thru, AirAsia juga menghubungkan Sarawak dengan lebih daripada 60 bandar di Australia, China, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, India dan negara-negara Asia Tenggara.

Advertisement