Anda di sini

Mural karya Mathew Ngau serikan Kelab Golf Bintulu

Advertisement
 Tetamu yang juga pemain golf merakam gambar kenangan pada dinding lukisan mural bermotifkan Borneo hasil kerja kreatif Mathew Ngau di Kelab Golf Bintulu.
UNTUK ALBUM: Tetamu yang juga pemain golf merakam gambar kenangan pada dinding lukisan mural bermotifkan Borneo hasil kerja kreatif Mathew Ngau di Kelab Golf Bintulu.
 Tetamu yang hadir merakam gambar di dinding lukisan mural bermotifkan Borneo di Kelab Golf Bintulu.
KENANGAN: Tetamu yang hadir merakam gambar di dinding lukisan mural bermotifkan Borneo di Kelab Golf Bintulu.

KELAB Golf Bintulu kini dihiasi dengan lukisan mural yang menggambarkan motif asli Borneo di Dinding Lubang 10 padang kelab golf itu pada Ahad lalu.

Majlis pembukaan dan penyerahan ringkas lukisan mural itu merupakan yang pertama seumpamanya untuk mana-mana kelab golf di negara ini dan unik dalam menggambarkan fauna yang bergaya dan reka bentuk flora yang tipikal Borneo serta menggabungkan imej pemain golf yang sedang menghayunkan kayu pemukul golf mereka.

Mural itu adalah kerja kreatif pemuzik sape terkenal serta ikon warisan hidup negara Mathew Ngau yang hadir pada majlis simbolik penyerahan lukisan tersebut.

Berucap semasa majlis penyerahan hasil kerja Mathew itu Kapten Kelab Golf Bintulu, Dato Mohammad Medan Abdullah melahirkan terima kasihnya kepada Mathew yang mendedikasikan masa dan tenaga kreatifnya memahat mercu tanda indah di Kelab Golf Bintulu itu.

Beliau berkata, sebaik sahaja hasil kerja itu selesai ia menjadi sangat popular sebagai latar belakang gambar untuk pemain golf sebelum mereka bermain golf.

“Pihaknya amat berbangga dengan hasil kerja artis mural yang pertama yang membuat mercu tanda itu di sini,” ujarnya sambil menambah, idea lukisan mural itu timbul secara spontan kepadanya ketika mendekati Mathew untuk mendapatkan khidmatnya melaksanakan kerja-kerja melukis mural itu yang mendapat persetujuan pelukis terbabit.

Begitupun katanya, idea untuk meletakkan motif tempatan dan mural adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh kelab sebelum ini.

Justeru katanya, lebih banyak projek mural akan dimulakan di kelab itu bagi mencerminkan bukan sahaja berkaitan kepelbagaian biologi Borneo tetapi juga kepelbagaian budaya, etnik dan linguistik Sarawak.

“Kepelbagaian itu adalah sumber inspirasi kepada semua dan sepatutnya menjadi perkara penting untuk meraikan kepelbagaian yang wujud dalam kalangan penduduk Sarawak,” ujarnya.

Pada majlis itu Medan turut mengumumkan Kelab Golf Bintulu sebagai tuan rumah Kejohanan Golf Terbuka SGA Edisi ke-50 dan Wanita Sarawak ke-31 pada 26 hingga 28 April depan.

Kejohanan itu akan menyaksikan penyertaan kira-kira 150 pemain dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia dan juga beberapa negara lain.

Medan berkata, Kelab Golf Bintulu dipilih sebagai tuan rumah kejohanan itu bertepatan dengan perayaan jubli emas Kejohanan Golf Terbuka SGA dan akan membantu meletakkan Bintulu sebagai venue pelbagai pertandingan dan kejohanan itu menawarkan beberapa hadiah menarik untuk kategori jemputan dan terbuka.

Pada majlis itu tetamu dikejutkan dengan permainan muzik Sape oleh Mathew dan Medan yang mengalunkan melodi muzik yang menenangkan.

  • oleh
  • Advertisement