Anda di sini

Kemenangan berganda bukti kekuatan luar biasa Joyce

Advertisement
KEMENANGAN Joyce di peringkat antarabangsa turut mengharumkan nama negara.
KEMENANGAN Joyce di peringkat antarabangsa turut mengharumkan nama negara.

KOTA KINABALU: Kemampuannya dalam memperlihatkan kekuatan luar biasa seorang wanita bukan lagi sesuatu yang boleh dipertikaikan.

Selepas merangkul kejuaraan dalam beberapa siri pertandingan orang kuat, kehebatan Joyce Heng, 33, masih sukar dicabar oleh peserta lain.

Ini terbukti apabila beliau mencipta dua lagi rekod kemenangan termasuk pencapaian peringkat antarabangsa dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Kepenatan yang dialami selepas menjuarai pertandingan Golden Lake Strongman & Woman Challenge 2019 di Kampung Topokan Tuaran belum pun surut, namun Joyce masih mampu meraih kemenangan di Thailand.

Kegembiraan meraikan kejayaannya dalam pertandingan di Tuaran pada 2 dan 3 Februari lepas masih belum berakhir.

Tetapi, beliau sekali lagi mencipta rekod kejuaraan baharu selepas dinobatkan sebagai johan kategori wanita terbuka dalam pertandingan Siam Strongman Classic pada 9 Februari lepas di Siam Thailand.

Kejayaan berganda ini sudah tentu menambahkan lagi semangat Joyce untuk terus mencipta kejayaan sekaligus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Joyce berkata, pencapaiannya dalam setiap pertandingan bukanlah untuk dimegahkan tetapi menjadi pendorong supaya lebih berusaha gigih dan membuat yang terbaik.

"Peserta lain tidak kurang hebatnya kerana mereka mampu memberi persaingan sengit dalam setiap rutin yang dipertandingkan.

"Semasa pertandingan Golden Lake, kami bersaing dalam enam rutin dan selepas memperolehi sebanyak 47 mata, saya memenangi tempat pertama.

"Walaupun masih dalam keadaan penat, saya kuatkan semangat untuk memberi saingan terbaik semasa pertandingan di Siam," jelasnya kepada Utusan Borneo di sini baru-baru ini.

Beliau berkata,  kata-kata semangat serta dorongan daripada semua pihak yang selama ini sentiasa menyokong perjalanan kariernya sebagai atlet orang kuat menjadi pendorong kuat buat dirinya.

Sehubungan itu, Joyce mahu setiap kejayaan yang diraihnya akan membawa manfaat besar sekaligus menempatkan dirinya sebaris dengan peserta hebat di peringkat dunia.

Pada masa sama, beliau mahu menjadikan pencapaian berkenaan membantu meningkatkan lagi prestasi serta keupayaannya sebagai atlet wanita terkuat yang cemerlang.

  • oleh
  • Advertisement