Anda di sini

PPM gagalkan penyeludupan diesel, tong gas LPG

Advertisement
BOT Penambang bersama 26 jeriken diesel yang dirampas PPM di perairan Safma malam Selasa.
BOT penambang bersama 26 jeriken diesel yang dirampas PPM di perairan Safma malam Selasa.

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan 26 jerikan minyak diesel dan 114 tong gas memasak (LPG) di sini malam Selasa.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata kegiatan terbabit dikesan di perairan Safma di sini ketika pihaknya menjalankan Op Gelora Khas, kira-kira jam 10.30 malam.

“Ketika diperiksa, kita menemukan sejumlah 450 liter minyak diesel yang dimuatkan dalam 26 jeriken berwarna biru berisi 18 liter setiap satu dalam sebuah bot penambang yang dikendalikan seorang juragan lelaki warga tempatan berumur 22 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan lesen atau permit sah yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kesemua minyak serta bot beserta enjin 75 Hp yang dianggarkan bernilai RM23,900 dirampas dan dibawa ke Jeti PPM Sabah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, PPM turut merampas 114 tong gas LPG termasuk tong gas kosong yang diangkut dua lori di Terminal Bot Penambang Pulau Gaya Besar di sini pagi Selasa.

“Lori pertama membawa 54 unit tong gas LPG jenama MyGaz termasuk 13 unit tong kosong dan 60 unit jenama sama termasuk 11 unit tong kosong di lori kedua.

“Turut ditahan dua lelaki tempatan berumur 41 dan 44 tahun termasuk pemandu lori yang gagal menunjukkan sebarang dokumen kelulusan atau permit sah dari KPDNHEP.

“Kita anggarkan jumlah rampasan tong gas LPG beserta dua lori sebanyak RM145,330 dan jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes mencecah RM169,230,” katanya.

Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama perkara 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

  • oleh
  • Advertisement