Anda di sini

Kutipan RM51.57 juta menerusi PKPS setakat 8 Februari

Advertisement
WARGA Pusat Seri Mengasih merakamkan kenangan bersama tetamu jemputan dan penganjur.
WARGA Pusat Seri Mengasih merakamkan kenangan bersama tetamu jemputan dan penganjur.

KOTA KINABALU: Cukai tambahan dan penalti yang ditaksir menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) di Sabah sehingga 8 Februari lepas berjumlah sekitar RM51.57 juta.

Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Negeri Sabah Datuk Hajam Lajah Alam berkata, jumlah berkenaan melibatkan sebanyak 1,591 kes daripada 672 pembayar cukai pelbagai kategori di negeri ini.

Menurutnya, sebanyak RM437 juta kutipan disasarkan untuk PKPS seluruh Sabah tahun ini dan RM10 bilion di seluruh negara.

"Fasa pertama PKPS bermula 3 November 2018 hingga 31 Mac 2019 mengenakan penalti sebanyak 10 peratus kepada pembayar cukai.

"Bagi fasa kedua bermula 1 April hingga 30 Jun 2019, kadar penalti dikenakan sebanyak 15 peratus dan pembayaran perlu dibuat selewat-lewatnya sehingga 1 Julai 2019," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2019 anjuran Pejabat Pengarah Negeri Sabah dengan kerjasama Kelab Hasil Cawangan Kota Kinabalu di sini hari ini.

Hajam berkata, selepas 30 Jun 2019, penalti akan dikenakan sebanyak 80 peratus hingga 300 peratus mengikut undang-undang sedia ada.

"PKPS ditawarkan kepada semua kategori pembayar cukai dan kadar penalti akan dikurangkan mengikut tempoh pengakuan sukarela dan bayaran cukai yang dibuat.

"Tawaran ini adalah satu peluang keemasan yang seharusnya diambil oleh para pembayar cukai dan ia selaras dengan usaha kerajaan untuk meringankan bebanan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut menyasarkan kutipan Cukai Langsung  bagi negeri Sabah sebanyak RM4.39 bilion tahun ini.

Tahun lepas jelasnya, jumlah Cukai Langsung negeri Sabah mendapat kutipan sebanyak RM3.959 bilion dan RM3.961 bilion pada 2017.

Pada majlis itu, Hajam turut  menyampaikan sumbangan kepada warga Pusat Seri Mengasih.

  • oleh
  • Advertisement