Anda di sini

AG akan mohon percepatkan pendengaran rayuan Najib

Advertisement
 Najib (tengah) keluar dari Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, semalam selepas mendengar sebutan kes tujuh pertuduhan yang dihadapinya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. — Gambar Bernama
SEBUTAN KES: Najib (tengah) keluar dari Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, semalam selepas mendengar sebutan kes tujuh pertuduhan yang dihadapinya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Peguam Negara (AG) Tommy Thomas mahu perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta, dimulakan pada 25 Feb.

Thomas memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa beliau akan menghantar sepucuk surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan (COA) tengah hari ini supaya dipercepatkan pendengaran rayuan Najib berhubung penarikan balik sijil pemindahan tujuh pertuduhan terhadapnya oleh pihak pendakwaan.

Thomas berkata pihak pendakwaan akan meminta Mahkamah Rayuan supaya menyegerakan pendengaran rayuan itu seawal mungkin dan akan menghantar surat kepada Presiden COA untuk mendapatkan tarikh pendengaran awal.

“Sekiranya mereka (pembelaan) jujur dan ikhlas dalam rayuan mereka, kenapa mereka mahu menangguhkan perbicaraan. Kami (pendakwaan) tidak mahu menangguhkan perbicaraan ini,” katanya ketika kes itu disebut dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Thomas berkata semalam sepatutnya merupakan hari pertama perbicaraan kes SRC Najib, bagaimanapun ia ditangguhkan kelmarin apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga kes rayuannya selesai.

Thomas turut memohon supaya dilapangkan tarikh perbicaraan itu, yang telah ditetapkan mulai semalam sehingga 22 Februari, dan meminta mahkamah supaya mengekalkan tarikh perbincaraan yang ditetapkan sebelum ini, iaitu dari 25 hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac.

“Kami yakin rayuan itu boleh diselesaikan sebelum minggu depan,” katanya.

Mohd Nazlan menetapkan 22 Februari untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak mengemas kini perkembangan rayuan itu di Mahkamah Rayuan.

Di luar mahkamah, peguam Datuk V. Sithambaram, yang dilantik untuk membantu pasukan pendakwaan, memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan akan mengutus surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan (COA) untuk mendapatkan tarikh pendengaran awal kerana kes itu membabitkan kepentingan awam.

“Kami harap Presiden COA akan segera menetapkan tarikh bagi pendengaran rayuan itu. Pihak pendakwaan yakin perbicaraan kes ini akan diadakan dari 25 Februari hingga penghujung Mac,” katanya.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga selesai kes rayuannya berhubung keputusan Mohd Nazlan yang membenarkan pihak pendakwaan menarik balik sijil untuk memindahkan tujuh pertuduhan SRC terhadap Najib.

Najib memfailkan notis rayuan pada 7 Februari lepas bersama-sama sijil kesegeraan supaya kes itu didengar dengan segera.

Pada 4 Julai tahun lepas, Ahli Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk sogokan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lepas, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah dana yang sama.

Najib, yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, hadir di mahkamah semalam. — Bernama

Advertisement