Anda di sini

Ketua Menteri arah struktur bangunan haram dirobohkan

Advertisement
 Jimmy mula menjadikan agenda menghalang pembinaan bangunan ini semenjak PRU12 sebelum memasukkan agenda merobohkan bangunan sama sebagai manifestonya pada PRU14.
MANIFESTO: Jimmy mula menjadikan agenda menghalang pembinaan bangunan ini semenjak PRU12 sebelum memasukkan agenda merobohkan bangunan sama sebagai manifestonya pada PRU14.

TAWAU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengarahkan supaya sturuktur bangunan haram di kawasan lapang Sabindo, bandar Tawau diambil tindakan segera sesuai dengan arahan mahkamah.

Mengambil kira keputusan mahkamah supaya bangunan itu dirobohkan, Shafie berkata langkah yang sejajar dengan perintah itu perlu dilaksanakan, lagi pun isu terbabit sudah lama berlarutan.

“Saya minta presiden Majlis Perbandaran Tawau serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan supaya mengatasinya secepat mungkin,” katanya di sini pada Sabtu.

Mengulas isu di Tawau juga, beliau berkata kerajaan negeri kini dalam proses mengambil alih tapak lapangan terbang di Jalan Utara daripada Malaysia Airport Berhad (MAB) yang dirancang untuk membangunkan sebuah bandar baharu.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa kerajaan negeri turut berusaha untuk mengambil semula pemilikan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daripada Tenaga Nasional Berhad.

“Kita sedar syarikat ini banyak hutang, tetapi menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin untuk cuba menyelesaikan masalah yang ada, bukannya lari daripada masalah,” katanya.

Terdahulu, Pembantu Menteri Jabatan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Tanjung Datuk Jimmy Wong mengemukakan usul tindakan itu di hadapan Ketua Menteri.

Menurutnya, perobohan bangunan itu manifesto janji pilihan rayanya dan pada masa sama boleh dianggap sebagai angpau besar Ketua Menteri kepada rakyat Sri Tanjung jika dirobohkan.

“Saya janji dalam 100 hari (untuk merobohkan bangunan terbabit) tetapi sekarang sudah hampir 300 hari,” katanya semasa memohon kebenaran Ketua Menteri supaya bangunan itu dirobohkan.

Jimmy turut berharap kerajaan negeri memberikan tumpuan kepada pembangunan di pantai timur khususnya Tawau, seiring dengan pertambahan kemasukan pelancong luar negara.

Beliau berkata peningkatkan pelancong ke daerah ini memberikan isyarat bahawa perkhidmatan yang ada juga perlu diberi nilai tambah kerana akan menentukan imej Sabah di serata dunia.

“Projek Empangan Air Cinta Mata juga harus dipercepatkan, begitu juga Lapangan Terbang Tawau diharap dapat dipanjangkan lagi untuk menambah kapasitinya,” katanya.

Advertisement