Anda di sini

Keningau, Papar sertai senarai ke pusingan 16 pasukan terakhir

Advertisement
JELLYSIUS (baju merah) mempengerusikan Mesyuarat Penyelaras Kejohanan di Kota Kinabalu pada Jumaat.
JELLYSIUS (baju merah) mempengerusikan Mesyuarat Penyelaras Kejohanan di Kota Kinabalu pada Jumaat.

KOTA KINABALU: Enam belas perlawanan penghujung minggu lalu menyaksikan sembilan pasukan termasuk juara dan naib juara bertahan, Keningau dan Papar mengesahkan tempat ke pusingan 16 pasukan terakhir edisi kedua Liga Bola Sepak KDM Malaysia 2018-2019.

Tujuh pasukan yang turut mara adalah Penampang dari Kumpulan B, Kudat, Putatan (Kumpulan C), Ranau (Kumpulan D), Tongod, Kepayan (Kumpulan G) dan Lahad Datu (Kumpulan H).

Sembilan pasukan itu menyertai enam pasukan yang sudah lebih awal menempah tempat iaitu Bandaraya Kota Kinabalu dan Sepanggar dari Kumpulan A, Telupid dan Karambunai (Kumpulan E), Sugut (Kumpulan F) dan Semporna (Kumpulan H).

Setiausaha Kejohanan, Jellysius Saimpon berkata, baki satu tempat lagi akan ditentukan perlawanan terakhir saingan peringkat Kumpulan B antara Kimanis dan Kota Marudu.

Kedua-dua pasukan yang kini berkongsi jumlah kutipan tiga mata itu akan bertembung penghujung minggu ini. Kimanis bagaimanapun mempunyai kelebihan jaringan.

Sambil itu, juara edisi pertama, Keningau mengesahkan tempat selepas menang 4-3 ke atas Sugut di Kompleks Sukan Keningau dalam saingan Kumpulan F. Keningau layak selaku juara kumpulan.

Papar pula mengesahkan tempat dengan bergaya apabila menang 6-1 ke atas Kadamaian di Kompleks Sukan Botung Kota Belud. Papar layak selaku naib juara mengiringi pendahulu Ranau.

Keputusan perlawanan lain membabitkan pasukan yang layak menyaksikan Penampang menang 3-1 ke atas Kimanis, Kudat menang 4-0 ke atas Liawan, Putatan seri 0-0 dengan Pitas, Ranau menang 5-0 ke atas Kuala Penyu, Tongod mengalahkan Kota Belud 3-1, Kepayan menang 1-0 ke atas Kemabong dan Lahad Datu seri 2-2 dengan Semporna.

Bagaimanapun mencuri tumpuan saingan peringkat kumpulan adalah pasukan Telupid yang mengalahkan Karambunai 1-0 di Padang Penjara Kepayan dalam pertembungan antara dua pasukan teratas yang sudah layak mewakili Kumpulan E.

Keputusan itu menyaksikan Telupid muncul satu-satunya pasukan yang menang bersih semua tiga perlawanan tanpa dibolosi.

"Pusingan 16 pasukan terakhir akan dijalankan secara kalah mati menerusi perlawanan timbal balik (tempat sendiri dan tempat lawan).

"Tarikh pertandingan pusingan 16 pasukan terakhir ini akan diumumkan dalam masa terdekat," kata Jellysius ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelaras Kejohanan di sini pada Selasa.

Menurutnya, sebelum pusingan 16 pasukan terakhir, kejohanan akan diteruskan dengan pertandingan pusingan pertama Piala FA yang turut melibatkan semua 32 pasukan.

"Cabut undi bagi menentukan jadual Piala FA akan diadakan pada 23 Februari di Bilik Mesyuarat Stadium Likas manakala pertandingan dijadualkan bermula pada 3 Mac," katanya.

  • oleh
  • Advertisement