Anda di sini

JPJ Sarawak mengeluarkan sebanyak 429 notis saman

Advertisement
ERICK
ERICK

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 429 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak sepanjang Ops Khas Motosikal yang diadakan di seluruh negeri ini sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) yang bermula 29 Januari lalu hingga 12 Februari ini.

Timbalan Pengarah JPJ Sarawak Erick Jusiang berkata, notis saman itu melibatkan pelbagai kesalahan yang kebanyakannya tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan.

“Operasi khas malam ini (kelmarin) melibatkan enam agensi penguatkuasaan iaitu JPJ seramai 30 orang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiga orang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak 17 orang, Jabatan Imigresen Sarawak 16 orang, Jabatan Alam Sekitar tujuh orang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah tiga orang termasuk kakitangan daripada Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

“Malah, sepanjang operasi khas motosikal sempena Tahun Baharu Cina yang diadakan di seluruh Sarawak, JPJ telah mengeluarkan 429 notis saman atas pelbagai kesalahan, kebanyakannya tidak mempunyai lesen memandu dan tiada cukai jalan serta cukai jalan dan lesen tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Kuching-Samarahan Expressway di sini malam kelmarin.

Selain itu, Erick memberitahu, AADK pula berjaya memeriksa seramai 175 pengguna jalan raya yang mana 24 orang daripada jumlah itu dikesan positif dadah.

“Manakala PDRM pula berjaya mengeluarkan 50 saman pelbagai kesalahan sepanjang tempoh operasi khas ini, JAS menguji 70 kenderaan pelbagai jenis dan Jabatan Imigresen telah memeriksa 50 warga asing,” jelasnya.

Mengulas lanjut operasi itu, beliau berkata, objektif operasi memberi tumpuan kepada pengguna jalan raya yang terdiri daripada penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

“Justeru, saya mengambil kesempatan di sini untuk memberi pesan kepada ibu bapa supaya memastikan anak-anak yang tidak mempunyai lesen memandu agar tidak menunggang motosikal kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Saya berharap semua orang awam yang belum ada lesen memandu memohon mendapatkan lesen di 27 institut memandu yang ada di seluruh Sarawak,” katanya.

Dalam operasi khas malam kelmarin, JPJ memeriksa 60 kenderaan yang mana sebanyak 22 notis saman dikeluarkan untuk pelbagai kesalahan, PDRM mengeluarkan 23 saman, JAS memeriksa 236 motosikal yang mana satu daripadanya gagal melepasi ujian pemeriksaan dan Jabatan Imigresen menahan dua warga Indonesia kerana tiada pasport.

Dalam perkembangan sama, Erick berkata, sepanjang tempoh penguatkuasaan dijalankan sempena Tahun Baharu Cina, tiada kes kemalangan melibatkan bas berlaku di negeri ini.

“Sehubungan itu, kami  akan melakukan rondaan dan penguatkuasaan secara berterusan dan menjalankan operasi bersepadu seperti ini di negeri ini,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement