Anda di sini

Bekas timbalan pengerusi MPS meninggal dunia

Advertisement
 Wong dan isteri bercakap kepada media di kediaman mereka di Sibu semalam.
MAKLUMAT: Wong dan isteri bercakap kepada media di kediaman mereka di Sibu semalam.

SIBU: Bekas Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Andrew Wong meninggal dunia pada usia 43 tahun malam kelmarin (Ahad).

Anak tunggal lelaki Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh itu, ditemui tidak sedarkan diri sekitar jam 9 malam dalam bilik di kediaman keluarganya, Jalan Ipoh di sini malam kelmarin.

Kejadian itu disedari isteri Soon Koh, Datin Sri Pauline Leong apabila memeriksa Andrew di bilik tidurnya selepas tidak menyahut panggilannya untuk turun makan malam.

“Sebaik sahaja isteri saya membuka pintu, beliau mendapati Andrew terbaring di atas lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Berikutan itu, doktor dipanggil ke kediaman untuk memeriksa keadaannya namun disahkan meninggal dunia sekitar jam 11 malam,” kata Wong ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang itu berkata, anaknya menjalani kehidupan dengan penuh gembira dan hidup sebagai seorang yang bermaruah.

Katanya, Andrew meninggalkan rumah mereka jam 7 pagi kelmarin (Ahad) mengikuti kumpulan kenderaan pacuan empat roda (4x4) ke Rumah Uka, Tutus, Batang Igan dekat sini.

“Untuk sampai ke rumah panjang tersebut mereka menggunakan jet ski selama sejam dan sejam untuk perjalanan pulang.

“Pada sebelah petang apabila tiba di rumah, beliau sudah keletihan dan terus masuk ke bilik tidur,” katanya.

Wong menggambarkan Andrew sebagai anak muda yang bijak dan mempunyai perancangan untuk membangunkan Sibu sebagai sebuah tempat tinggal lebih baik.

Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) itu berkata, mendiang mempunyai rancangan menaik taraf status bandar Sibu dan pelan diluluskan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Impiannya bukan hanya dari segi pembangunan dalam bidang pertanian, pelancongan dan pendidikan tetapi juga  infrastruktur.

“Di samping itu, beliau juga terlibat dalam perundingan untuk mengkaji kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan bandar ini bagi menyelesaikan masalah itu.

“Tetapi, pada masa itu beliau tidak mempunyai landasan untuk melaksanakan rancangan tersebut. Dia (Andrew) berkata dia akan menunggu landasan lebih baik,” ujar Wong.

Andrew meninggalkan seorang balu dan dua anak masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan.

Mendiang merupakan lulusan Sarjana Ekonomi daripada University of Western Australia.

Beliau memainkan peranan utama dalam membantu Kerajaan Sarawak menubuhkan Kolej Maritim Sarawak, Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) dan pembangunan Kolej Laila Taib.

Pada 2014, beliau dilantik sebagai timbalan pengerusi MPS dan dalam tempoh jawatannya di MPS, beliau memulakan rancangan pembangunan untuk Sibu bernama Rancangan Sibu 1 (RS1).

Beliau juga adalah pengasas UCTS.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, beliau mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di kerusi Parlimen Sibu namun gagal merampasnya daripada penyandang, Oscar Ling daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) menang majoriti 11,422 undi.

Manakala dua lagi calon pencabarnya, Simon Tiong daripada Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) dan Jamie Tiew daripada Sarawak Peace Party (SPP) hilang wang deposit.

Advertisement