Anda di sini

Dua lelaki didakwa miliki barang larangan bernilai RM8.3 juta

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Dua lelaki antaranya seorang pemborong kedai runcit didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan memiliki barang-barang larangan yang tidak diluluskan kastam.

Bagaimanapun Omar Kiftiani dan Tan Dick Len, 67, yang masing-masing diwakili peguam Chin Teck Meng mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim.

Kedua-dua tertuduh berhadapan dengan hukuman mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii) akta sama.

Jika sabit salah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang terbabit dan tidak lebih 20 kali ganda atau penjara selama tempoh tiga tahun, atau kedua-dua.

Omar didapati menyimpan dan berada dalam milikannya kira-kira 170,000 batang rokok jenama Premium, sementara Tan menyimpan pelbagai jenis minuman keras dan rokok.

Tan juga didakwa mengikut Seksyen 4 (2) Akta Bahan Letupan 1957, atas kesalahan memiliki sebanyak 377 mercun dalam bentuk bungkusan, dikotakkan serta jenis gulung.

Hukuman yang diperuntukkan penjara selama tempoh lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-dua.

Semua kesalahan berkenaan didapati dilakukan pada 23 Januari jam 12.30 tengah hari di sebuah rumah Kampung Bontoi, Tamparuli di Tuaran.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 6 Mac terhadap kedua-dua tertuduh, yang diperintahkan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat sekali dalam tempoh dua minggu.

Omar dan Tan diberikan ikat jamin sebanyak RM15,000 yang dicagarkan dua penjamin tempatan untuk pertuduhan mengikut Akta Kastam 1967.

Bagi pertuduhan mengikut Akta Bahan Letupan 1957, ikat jamin sebanyak RM10,000 diberikan kepada Tan dicagarkan dua penjamin tempatan.

Pada bulan lalu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menahan tiga lelaki dipercayai anggota sindiket penyeludupan.

Pelbagai jenis rokok, minuman keras dan alkohol dianggarkan RM8.3 juta dirampas dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Bontoi.

Rampasan membabitkan sebanyak 114,350 bungkus rokok pelbagai jenama, 2,746 kotak pelbagai jenis minuman keras serta mercun.

Barang-barang terbabit disyaki diseludup di beberapa negara dipercayai untuk pasaran sempena Tahun Baharu Cina.

Pegawai Pendakwa Insp Papilus Primus melakukan pendakwaan.

  • oleh
  • Advertisement