Anda di sini

Timbalan Gabenor Virginia hadapi tuduhan seksual kedua

Advertisement
 Fairfax (tengah) tiba di tingkat Senat di Virginia State Capitol kelmarin di Richmond, Virginia. Politik negeri Virginia mengalami pergolakan selepas Gabenor Ralph Northam dan Ketua Peguam Negeri Mark Herring mengakui pernah menggunakan wajah hitam pada masa lalu dan Fairfax dituduh melakukan kesalahan seksual. — Gambar AFP
BERDEPAN TUDUHAN: Fairfax (tengah) tiba di tingkat Senat di Virginia State Capitol kelmarin di Richmond, Virginia. Politik negeri Virginia mengalami pergolakan selepas Gabenor Ralph Northam dan Ketua Peguam Negeri Mark Herring mengakui pernah menggunakan wajah hitam pada masa lalu dan Fairfax dituduh melakukan kesalahan seksual. — Gambar AFP

WASHINGTON: Seorang lagi wanita menuduh Timbalan Gabenor Virginia melakukan kesalahan seksual, media Amerika Syarikat (AS) melaporkan kelmarin, untuk memburukkan lagi kemelut politik di negeri timur AS itu.

Timbalan Gabenor Justin Fairfax adalah calon seterusnya untuk memegang jawatan gabenor jika Gabenor Ralph Northam yang menghadapi tekanan yang kuat untuk meletak jawatan berhubung satu gambar buku tahunan yang rasis membuat keputusan untuk meletak jawatan.

Akhbar The Washington Post melaporkan seorang wanita Maryland menuduh Fairfax melakukan serangan “yang dirancang awal dan agresif” ketika kedua-dua mereka masih menjadi pelajar mahasiswa di Universiti Duke pada 2000, manakala CNN berkata wanita itu menuduh Fairfax merogolnya.

Dakwaan itu dibuat selepas seorang lagi wanita menuduh Fairfax melakukan kesalahan seksual berhubung satu kejadian seksual yang mereka alami dalam sebuah bilik hotel 15 tahun lalu, sesuatu yang Fairfax dakwa adalah “100 peratus suka sama suka”.

Fairfax, seorang Demokrat berusia 39 tahun, memenangi pilihan raya pada November lalu bersama Northam, yang terpaksa berjuang untuk kelangsungan politik sejak kemunculan sebuah buku tahunan 1984 yang memaparkan sebuah gambar rasis pada muka surat yang diabadikan kepadanya.

Selepas pada mulanya menyatakan dia ada dalam gambar itu yang menunjukkan seorang lelaki berwajah hitam di sebelah seorang lagi lelaki yang memakai jubah dan penutup kepala Klu Klux Klan, Northam sekarang menafikan dia ada dalam gambar tersebut, dan setakat ini masih tidak mengendahkan seruan agar dia meletak jawatan. — AFP

Advertisement