Anda di sini

Taktik seludup dadah berubah-ubah diakui cabaran penguatkuasa

Advertisement
 

TAWAU: Taktik sindiket penyeludupan dadah diakui sentiasa berubah dalam bentuk kreatif, canggih dan pintar dari masa ke semasa di pintu utama keluar-masuk negara.

Faktor saiz pantai di negeri ini yang disifatkan terlalu luas turut memberikan cabaran kepada pasukan pengkuatkuasa termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Madrim Tasan berkata, pihaknya menyedari cabaran terbabit dan berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

“Penyeludup dadah selalu mengubah taktik termasuk menyembunyikan ‘barang larangan itu’ di tempat luar jangka,” katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Madrim berkata kerajaan juga prihatin terhadap perkembangan terbabit dan bakal menempatkan tujuh mesin pengimbas baharu di Sabah termasuklah untuk daerah ini.

Mengulas lanjut, beliau percaya kes-kes penyeludupan dadah dapat ditangani dengan lebih baik apabila mesin pengimbas terbabit sudah boleh digunakan JKDM Sabah.

“Ketika ini proses mendapatkan mesin-mesin itu masih diusahakan dan kita percaya apabila alat ini ada nanti, kecekapan pegawai bertugas akan menjadi lebih baik.

“Kita tidak nafikan ilmu mengenal-pasti barangan larangan (melibatkan pegawai Kastam) masih kurang, lebih-lebih lagi faktor kelengkapan yang terhad,” katanya.

Namun menurutnya, JKDM Sabah sentiasa meningkatkan kerjasama perkongsian maklumat dan penguatkuasaan bersama pihak berkuasa dari negara jiran.

Termasuklah, menggunakan pendekatan Collaborated Border Management (CBM) menerusi peningkatan risiko-risiko pengurusan secara berterusan dari hari ke hari.

Untuk rekod, pihak berkuasa di Nunukan, Kalimantan Utara Indonesia baharu sahaja merampas dadah seberat 6, 457 gram di Pulau Sebatik (Wilayah Indonesia) yang dikatakan dibawa masuk dari Tawau.

Dadah terbabit dikatakan dikesan dimasukkan ke dalam tong gas petroleum cecair (LPG) Malaysia dan disyaki menggunakan modus operandi baharu melibatkan jalur pelayaran antara Tawau-Sebatik-Nunukan-Berau Kalimantan Timur.

  • oleh
  • Advertisement