Anda di sini

SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan membanggakan Sarawak

Advertisement
 Juara Pertandingan Video Pendek Bahasa Arab Peringkat Antarabangsa 2018 menerima hadiah di sekolah baru-baru ini.
PENGHARGAAN: Juara Pertandingan Video Pendek Bahasa Arab Peringkat Antarabangsa 2018 menerima hadiah di sekolah baru-baru ini.

SK (Agama) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Kuching melakar kejayaan membanggakan Sarawak selepas muncul juara Pertandingan Video Pendek Bahasa Arab Peringkat Antarabangsa 2018 yang dianjurkan oleh Pusat Pendidikan ISESCO di Malaysia, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada November 2018.

SK (Agama) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Kuching merupakan satu-satunya calon sekolah rendah dari Sarawak yang menghantar penyertaan dalam pertandingan tersebut.

Pertandingan tersebut diadakan sepanjang bulan November yang lalu dan telah diundi secara atas talian di laman sesawang http://video.wald.my.

 Wajah ceria pemenang Pertandingan Video Pendek Bahasa Arab Peringkat Antarabangsa 2018 bersama hadiah dimenangi.
TAHNIAH: Wajah ceria pemenang Pertandingan Video Pendek Bahasa Arab Peringkat Antarabangsa 2018 bersama hadiah dimenangi.

Keputusan pertandingan diumumkan pada 18 Disember 2018 bersempena dengan sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia.

Karya yang dipertaruhkan oleh SK (Agama) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Kuching adalah dalam bentuk ‘choral speaking’ dan menggunakan bahasa Arab fushah (standard).

Terdapat empat kategori yang bersaing dalam pertandingan tersebut iaitu kategori Sekolah Rendah ‘choral speaking’, Sekolah Menengah, Institusi Pengajian Tinggi Awam & Swasta dan Kategori terbuka (Asia) dengan karya yang dihasilkan bertemakan ‘Tempat Pelancongan Yang Menarik di Tempat Anda’.

SK (Agama) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Kuching telah diwakili Dayang Najihah Awang Salmi, Zara Qistina Muhd Fiqri, Syed Muhd Arman Syed Hamzah, Muhd Mujahid Mahyunazif, Awang Saiful Amry Awang Nazarudin dan Haziqah Zainudin.

 Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Maszlee.
TAHNIAH: Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Maszlee.

Enam murid tahun lima ini mendapat bimbingan Ustaz A’Ali Mussalmshah Hamden dan Ustazah Siti Nur Maghfirah.

“Kami sekadar mencuba nasib menghantar video ke pertandingan tersebut, bukan bertanding untuk menang. Walau bagaimanapun, hasil usaha dan kesungguhan anak-anak muda dan guru pembimbing mereka, akhirnya mereka telah berjaya mengharumkan nama sekolah dan negeri Sarawak.

“Kami guru-guru di sini sangat berharap matlamat kami untuk melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan beramal akan tercapai dengan menyertai program sebegini. Bukan saja belajar secara formal di dalam kelas, program sebegini juga salah satu pembelajaran interaktif secara tidak formal kepada murid.

“Selain itu juga, pertandingan seperti ini juga sebenarnya sangat bagus disertai kerana di samping dapat mencungkil bakat pelajar secara tidak langsung mereka dapat mengukuhkan lagi penguasaan bahasa ketiga mereka iaitu bahasa Arab.

“Murid-murid diharap dapat menambahkan keyakinan diri mereka untuk berkomunikasi dalam bahasa Arab yang bukan merupakan bahasa seharian kita di rumah,” ujar Ketua Panitia Bahasa Arab SK (Agama) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Ustazah Siti Asmah Khalid.

SK (Agama) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM900, hamper dan sijil penyertaan ketika majlis penyampaian hadiah yang dihadiri guru pembimbing mereka.

Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

  • oleh
  • Advertisement