Anda di sini

Tindakan kunci rumah PPR MPS ikut perjanjian, SOP

Advertisement
PETER Hii mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa PPR MPS.
PETER Hii mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa PPR MPS.

SANDAKAN: Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk Peter Hii Chang Lik memberitahu keputusan mengunci pintu rumah penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang liat atau enggan menjelaskan sewa tertunggak adalah keputusan dibuat oleh Jawatankuasa PPR MPS.

“Keputusan dibuat MPS itu adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan yang tertakluk dalam perjanjian sewaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PPPR MPS, petang Jumaat.

Beliau berkata, dakwaan yang mengatakan keputusan itu dibuat oleh Presiden MPS adalah tidak benar.

“Sebarang keputusan adalah dibuat melalui jawatankuasa PPR MPS. Kita perlu mengikut peraturan seperti dalam perjanjian sewa yang ditandatangani oleh penyewa itu sendiri,” katanya.

Peter Hii berkata, penyewa yang liat dan enggan menjelaskan sewa akan diberi surat amaran yang mengkehendaki penyewa menjelaskan hutang tertunggak dalam tempoh 14 hari sebelum tindakan pengunci dilakukan.

“Bayaran sewa rumah PPR hanya RM144  sebulan. Sekiranya bayaran dibuat setiap bulan sudah tentu tiada berlaku tunggakan bayaran sewa,” katanya.

Beliau berkata, sikap penyewa tidak berdisiplin adalah penyebab permasalahan tunggakan bayaran sewa berlaku.

Peter Hii menjelaskan, tunggakan bayaran sewa penyewa rumah PPR kini mencecah jutaan ringgit.

“MPS berharap mereka menjelaskan bayaran mengikut tempoh yang ditetapkan, memandangkan kadar sewa perumahan ini yang cukup rendah.

“Jika benar-benar berminta untuk terus tinggal di PPR ini, mereka perlu tunaikan tanggungjawab membayar sewa pada setiap bulan,” katanya.

Dalam pada itu, Peter Hii melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir penyewa yang mendakwa tindakan MPS mengunci rumah  sesetengah penghuni ekoran kegagalan mereka melunaskan tunggakan sewa sebagai tidak wajar.

“Tuduhan itu tidak adil kepada MPS kerana notis amaran telah diberikan pada penyewa, tetapi tidak dipedulikan dan mereka masih gagal membuat pembayaran tunggakan,” tegasnya.

Mengenai tuduhan terhadap dirinya, Peter Hii menegaskan tuduhan pihak tertentu itu tidak benar di mana dia sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), undang-undang dan peraturan yang ditetapkan semasa menjalankan tugasnya sebagai Presiden MPS dengan telus, bebas dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana individu atau organisasi untuk memastikan MPS tidak terlibat daripada jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

  • oleh
  • Advertisement