Anda di sini

Tradisi lukisan Orang Ulu akan didokumentasikan 

Advertisement
Louise ketika membentangkan ceramah bertajuk ''Searching For Orang Ulu Integrity in the Painting', di Ruang Legar JMS di Jalan Barrack hari ini
Louise ketika membentangkan ceramah bertajuk ''Searching For Orang Ulu Integrity in the Painting', di Ruang Legar JMS di Jalan Barrack hari ini

KUCHING:  Penyelidikan mengenai lukisan Orang Ulu dalam koleksi Jabatan Muzium Sarawak (JMS) akan didokumentasikan dalam usaha membantu masyarakat umum khasnya di Sarawak lebih memahami bentuk kesenian dan tradisi masyarakat itu.

Pengasas Friends of Sarawak Museum, Louise Macul berkata, beliau sekarang ini sedang mengumpul maklumat lengkap mengenai lukisan etnik itu untuk diserahkan kepada pihak muzium.

"Setakat ini, belum ada sebarang dokumentasi bagi lukisan Orang Ulu  sebagai objek dalam koleksi muzium. Oleh itu, saya sedia membantu malah menyokongnya supaya ia diiktiraf  sebagai objek yang perlu didokumenkan dan cerita yang perlu diberitahu kepada masyarakat umum.

"Itulah sebab utama mengapa saya  ingin melakukan kajian penyelidikan ini  kerana mahu membantu rakyat Sarawak memahami bentuk kesenian masyarakat Orang Ulu," ujarnya ketika ditemui Utusan Borneo selepas membentangkan ceramah bertajuk  'Searching For Orang Ulu Integrity in the Painting," di sini, hari ini.

Louise merupakan seorang pelajar ijazah doktor falsafah tahun pertama di Universiti Leicester di United Kingdom yang mengkhusus dalam bidang kajian muzium.  

Dalam pengajiannya itu, beliau membuat penyelidikan tentang lukisan Orang Ulu dalam koleksi Muzium Sarawak yang dibuat oleh kaum Berawan, Kenyah dan Kayan pada zaman 50an dan 60an.

Menurut Louise, beliau mahu hasil penyelidikannya itu bukan sahaja difahami oleh masyarakat tetapi menjadi inspirasi kepada artis-artis muda di negeri ini.

"Lukisan ini belum lagi dilihat oleh orang ramai, jadi sekarang adalah masa terbaik untuk menjalani penyelidikan dan selepas saya siap, kita boleh mempamerkannya. Ada banyak, hampir 100 buah lukisan pada keseluruhannya," katanya sambil menambah  penyelidikan itu akan mengambil tempoh empat tahun untuk disiapkan.

"Selepas empat tahun, saya akan selesai membuat dokumentasi untuk pihak muzium ini dan tumpuan dokumentasi ini adalah mengenai tradisi lukisan kaum Orang Ulu," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau harap kajian penyelidikannya itu akan dapat menghubungkan generasi muda dengan bentuk kesenian tersebut dalam cara yang bermakna sekaligus memberi inspirasi kepada mereka untuk melihatnya secara berlainan dan menjadikannya milik mereka sendiri. 

  • oleh
  • Advertisement