Anda di sini

Peluang luas untuk usahawan Malaysia menyertai e-dagang

Advertisement

GEORGE TOWN: Masih terdapat banyak peluang untuk usahawan Malaysia menyertai pasaran e-dagang, kata Pengerusi Eksekutif PG Mall Sdn Bhd, Datuk Wira Louis Ng.

Beliau berkata ini berdasarkan laporan kajian yang mendapati bahawa pada tahun lepas, hanya 15.5 peratus daripada jumlah jualan runcit dunia adalah menerusi platform beli-belah dalam talian.

Beliau yakin kadar itu akan meningkat pada masa depan susulan aliran beli-belah dalam talian yang pesat berkembang.

Ini sekali gus memberi peluang luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) Malaysia untuk memulakan atau menjalin perkongsian dengan perniagaan e-dagang tempatan, katanya kepada Bernama.

“Bagaimanapun, rakyat Malaysia masih cuba menyesuai dengan aliran beli-belah dalam talian. Kebanyakan mereka masih pergi ke kedai dan pasar raya untuk membeli barangan namun, dengan teknologi yang semakin canggih dari semasa ke semasa, setiap orang akan mula memanfaatkan e-dagang,” katanya.

Ng berkata pada masa kini, e-dagang berperanan sebagai model ekonomi baharu dan ia akan menjadi infrastruktur kepada negara pada masa depan.

Beliau berkata sementara usaha memperkenalkan platform beli-belah dalam talian Malaysia akan membuka laluan kepada platform ekonomi baharu yang berpotensi untuk negara, beberapa cabaran dan ancaman dihadapi pasaran e-dagang dunia perlu ditangani.

Antara cabaran itu adalah persaingan sengit daripada laman beli-belah utama lain di negara asing, katanya.

Beliau berkata China telah menguasai pasaran Malaysia dengan produknya sejak beberapa tahun lepas menerusi kemasukan ke dalam laman beli-belah dalam talian, yang sekali gus menjadi ancaman kepada perniagaan tempatan.

“Ini berikutan cukai nilai tambah (VAT) Malaysia yang rendah dikenakan ke atas barang import (menyebabkan) produk boleh dieksport secara bebas, antaranya, ke negara kita,” katanya.

Ng berkata Malaysia dan Singapura adalah dua negara di Asia Tenggara yang mengenakan VAT pada kadar rendah ke atas barangan import, manakala kadar cukai yang dikenakan Indonesia adalah tinggi.

Beliau berkata jenama tempatan berdepan halangan dalam memasarkan barangan mereka di luar negara ekoran caj eksport yang tinggi oleh negara asing, akhirnya akan menaikkan harga barangan.

PKS dan MTC tempatan juga menerima amat sedikit bantuan daripada pihak berkuasa berkaitan dan pemilik platform e-dagang untuk memasarkan produk buatan tempatan ke luar. katanya.

Beliau berkata PKS perlu menyuarakan kebimbangan mereka kepada Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, yang boleh merundingkan perkara itu dengan negara lain bagi membolehkan produk tempatan dijual pada harga kompetitif di negara berkenaan.

“Kita memerlukan platform e-dagang tempatan yang kukuh untuk membantu PKS memasarkan produk buatan Malaysia tanpa bergantung dengan produk lain dari negara luar,” katanya. — Bernama

Advertisement