Anda di sini

Jaringan lewat Ronaldo sahkan kemenangan Juve di Rom

Advertisement
 Ronaldo diasak hebat oleh dua pemain Lazio pada perlawanan Serie A Itali di  Stadio Olimpico, Rom Ahad lepas. — Gambar AFP
TERSEPIT: Ronaldo diasak hebat oleh dua pemain Lazio pada perlawanan Serie A Itali di Stadio Olimpico, Rom Ahad lepas. — Gambar AFP

MILAN, Itali: Penyerang sensasi Juventus, Cristiano Ronaldo menyempurnakan satu tendangan penalti untuk mengesahkan kemenangan sukar 2-1 ke atas Lazio di Rom untuk menjarakkan kedudukan di tangga teratas Serie A Itali dengan kelebihan 11 mata Ahad lepas.

Juventus sebelum itu ketinggalan menerusi gol sendiri Emre Can selepas satu jam permainan sebelum pemain gantian, Joao Cancelo mengikat kedudukan buat juara bertahan dan memperolehi satu tendangan penalti yang disempurnakan Ronaldo, dua minit sebelum tamat permainan.

Kejuaraan Serie A kelapan berturut-turut kekal di landasan untuk skuad kendalian Massimiliano Allegri, yang menjarakkan lagi kedudukan dari pencabar terdekatnya, Napoli, yang diikat tanpa jaringan di AC Milan pada perlawanan hari Sabtu.

Inter Milan semakin jauh ketinggalan dengan kurang 19 mata di belakang selepas tewas 0-1 di Torino pada perlawanan awal.

Lazio tercicir ke tangga kelapan – tiga mata dari slot kelayakan ke Liga Juara-Juara – selepas kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas kepada Napoli dengan keputusan yang sama minggu lepas.

“Ia mungkin salah pengurus pakaian, memberikan kami 10 jersi dengan berbeza warna kerana kami seperti tidak dapat menghantar bola sesama kami,” kata Allegri.

“Untuk 60 minit pertama, ia adalah aksi terburuk Juventus,” tambah kapten pasukan, Giorgio Chiellini.

“Apa yang peliknya, selepas ketinggalan, kami menemui motivasi untuk memenangi perlawanan.

“Kami mempunyai pemain yang mampu mengubah keputusan. (Penjaga gol, Wojciech) Szczesny mengekalkan motivasi kami dan kami juga berbisa di akhir permainan.”

Juventus bergelut pada awal permainan di Stadio Olimpico ketika Lazio mengasak bertali-arus.

Daniel Rugani sempat menolak bola dari melepasi garisan gol selepas Joaquin Correa melepasi kawalan Can dan Leoanrdo Bonucci sementara Szczesny menepis rembatan Luis Alberto dan Marco Parolo.

Malang Can berterusan apabila beliau tertolak bola ke pintu golnya sendiri dari satu tendangan penalti.

Tetapi Juventus boleh mempunyai kekuatan tambahan di bangku simpanan dengan Cancelo dan Federico Bernardeschi memberi impak selepas dimasukkan.

Larian solo Benardeschi membolehkan Cancelo mengikat kedudukan dari bola muntah selepas penjaga gol Thomas Straskosha menepis rembatan Paulo Dybala.

Ronaldo, di mana penalti beliau diselamatkan ketika menentang Chievo minggu lepas – melengkapkan kebangkitan untuk kemenangan kelapan berturut-turut di gelanggang lawan untuk gol liga ke-15 beliau musim ini.

Inter Milan tumbang di Torino dengan gol kemenangan dijaringkan Armando Izzo sementara AS Roma mensia-siakan pendahuluan 3-0 apabila seri 3-3 ketika menentang Atalanta.

Roma boleh memintas AC Milan di tangga keempat tetapi Duvan Zapata meneruskan rentak gol untuk menjaringkan gol penyamaan.

Roma mendahului 3-0 menerusi dua gol Edin Dzeko dan Stephan El Shaarawy sebelum rehat.

Jurulatih Roma, Eusebio Di Francesco, merungut: “Apa yang mengecewakan ialah kekurangan konsistensi dalam pasukan ini walaupun pada perlawanan yang sama.

“Ia tidak masuk akal untuk melihat sebuah pasukan dengan pemain yang sama tetapi memberikan prestasi berbeza. Kami bernasib baik untuk mendapat keputusan seri.”

Kedua-dua pasukan juga seri 3-3 pada perlawanan awal musim di Rom, tetapi ketika itu Roma bangkit dari ketinggalan 1-3.

Atalanta kini di tangga ketujuh liga, kurang tiga mata dari slot kelayakan ke bola sepak Eropah musim hadapan. — AFP

Advertisement