Anda di sini

ASAS hampa, akur keputusan IPC

Advertisement
ANTHONY
ANTHONY

KUCHING: Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) melahirkan kekecewaan keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

Setiausahanya, Anthony Kong berkata kejohanan itu merupakan peluang sebagai pembuka mata serta landasan menunjukkan kepada dunia bahawa Sarawak mampu menganjurkan acara antarabangsa selain badminton.

“Kita (ASAS) amat sedih dan kecewa apabila Sarawak (Malaysia) kehilangan hak menjadi tuan rumah acara berprestij dunia itu.

“Kita amat memerlukannya untuk membuktikan keupayaan ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ slogan Sarawak dalam arena sukan kebangsaan dan antarabangsa,” katanya di sini semalam.

Bagaimanapun, Anthony berkata ASAS terpaksa akur dengan keputusan itu serta menghormati dasar kerajaan tidak menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Keputusan membatalkan hak kejohanan dijadualkan berlangsung pada 29 Julai hingga 4 Ogos di Kuching itu dibuat pada mesyuarat lembaga jawatankuasa tersebut di London.

Ia setelah Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia gagal memberi jaminan yang diperlukan bahawa perenang para Israel boleh mengambil bahagian, bebas daripada diskriminasi dan selamat semasa kejohanan itu.

Setakat kelmarin (Ahad) lalu, sebanyak 64 negara telah pun mengesahkan penyertaan melibatkan seramai 1,678 atlet dan pegawai.

Keputusan menyekat penyertaan Israel merupakan Dasar Luar Negara Malaysia yang mana Sarawak sebagai salah satu negeri dalam Malaysia perlu menghormatinya.

Advertisement