Anda di sini

JTK Sarawak lancar Ops Balak di kem balak di Kapit

Advertisement
 Para pegawai JTK Sarawak ketika melancarkan Ops Balak di sebuah kem balak di Kapit baru-baru ini.
OPERASI: Para pegawai JTK Sarawak ketika melancarkan Ops Balak di sebuah kem balak di Kapit baru-baru ini.

KUCHING: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak telah melancarkan Ops Balak di sebuah kem balak yang terletak di bahagian Kapit pada 26 Januari lepas.

Operasi  itu diketuai Pengarah JTK Sarawak Awang Raduan Awang Omar bersama enam anggota penguat kuasa dan mengambil masa 13 jam perjalanan dari pekan Kapit untuk sampai ke lokasi kem balak tersebut.

“Operasi ini bertujuan memeriksa tempat pekerjaan di sektor pembalakan bagi memastikan pematuhan majikan terhadap undang-undang perburuhan yang sedang dikuatkuasakan, termasuk Ordinan Buruh Sarawak, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara dan Akta Umur Persaraan Minimum.

“Pemeriksaan yang dijalankan ini adalah untuk memastikan pekerja-pekerja yang digaji di kawasan pedalaman Sarawak tidak terlepas daripada perlindungan undang-undang buruh terutama hak-hak mereka yang termaktub di bawah undang-undang tersebut.

“Ini termasuk penetapan waktu kerja dalam kontrak perkhidmatan, pemberian hari rehat dan hari kelepasan oleh majikan, pembayaran gaji kerja lebih masa, gaji kerja pada hari rehat dan gaji kerja hari kelepasan berbayar, masa pembayaran gaji kepada pekerja, pembayaran gaji minimum dan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan,” kata Awang Raduan menerusi kenyataan akhbarnya semalam.

Hasil pemeriksaan pihaknya telah mendapati beberapa perlanggaran undang-undang telah berlaku, antaranya kegagalan majikan menyediakan dan menyimpan daftar pekerja yang lengkap dan kegagalan majikan membayar gaji hari kelepasan kepada pekerja.

Terutamanya tambah beliau, pekerja yang dibayar gaji ikut kerja, menetapkan waktu kerja yang melebihi tempoh masa 10 jam dalam satu hari, kegagalan majikan membayar gaji lebih masa mengikut kadar yang ditetapkan, kegagalan majikan membayar gaji dalam masa yang ditetapkan, kegagalan majikan mempamerkan notis hari rehat, membayar gaji melalui bank tanpa kebenaran pekerja dan membuat potongan gaji selain daripada potongan yang dibenarkan.

Justeru, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak telah mengeluarkan notifikasi perlanggaran kepada majikan yang terbabit supaya mengambil tindakan pembetulan terhadap perlanggaran-perlanggaran di atas.

“Sekiranya majikan gagal berbuat demikian, kertas siasatan akan dibuka dan majikan yang melanggar undang-undang tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah,” tambahnya.

Pihak JTK Sarawak akan meneruskan operasi khas di tempat-tempat yang lain bagi memastikan pekerja yang digaji dalam pelbagai sektor menikmati hak-hak statutori yang diberikan kepada mereka di bawah undang-undang.

Operasi khas yang dijalankan itu juga merupakan salah satu program ‘outreach’ yang dilancarkan JTK Sarawak pada awal tahun ini.

Turut menyertai operasi Ketua Bahagian Standard Perburuhan, JTK Sarawak Jamillah Putit, Ketua Pejabat Tenaga Kerja Kapit Khusyairy Pangkas Abdullah serta tiga anggota penguat kuasa lain daripada JTK Sarawak di sini.

Advertisement