Anda di sini

Griezmann bantu Atletico Madrid kejar rapat pendahulu Barcelona

Advertisement
 Griezmann menjaringkan satu gol untuk membantu Atletico Madrid menewaskan Getafe 2-0 di Madrid. — Gambar Reuters
BERBISA: Griezmann menjaringkan satu gol untuk membantu Atletico Madrid menewaskan Getafe 2-0 di Madrid. — Gambar Reuters

MADRID, Sepanyol: Antoine Griezmann menjaringkan gol sekali lagi ketika kelabnya, Atletico Madrid mengekalkan tekanan ke atas Barcelona dengan menewaskan Getafe 2-0 dalam aksi La Liga Sepanyol Sabtu lepas.

Griezmann kini menjaringkan lapan gol dari beberapa perlawanan dengan gol terbaharu beliau membantu Atletico mencipta kemenangan keenam dari tujuh perlawanan liga. Mereka tercicir dua mata ketika seri di Sevilla.

Saul Niguez menjaringkan gol kedua sebelum rehat perlawanan di Wanda Metropolitano untuk melengkapkan kemenangan bergaya ke atas Getafe, yang hanya tewas sekali – kepada Barcelona – dari 12 perlawanan terakhir.

Terkenal dengan kesabaran, Getafe hilang rentak pada minit akhir dengan Djene Dakonam dan Leonadro Cabrera dibuang padang.

“Dari awal bulan Januari, pasukan ini bermain dengan baik,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone.

Griezmann mungkin bermain untuk Barca jika membuat keputusan menyertai pendahulu liga itu pada musim panas lalu tetapi sebaliknya beliau semakin menjadi penyerang berbisa kelabnya dengan hampir berseorangan membantu Atletico untuk mengekalkan cabaran menyaingi Barcelona.

Alvaro Morata mungkin akan menyertai Atletico bulan ini, walaupun jika laporan dalam media Sepanyol mencadangkan perjanjian dengan Chelsea (kelab semasa Morata) mungkin sukar dicapai.

Tetapi dengan prestasi semasa Griezmann dan Diego Costa dijangka kembali beraksi bulan hadapan, Atletico tidak memerlukan penyerang tambahan walaupun beberapa penyokong ada bersorak membantah kehadiran Morata.

“Semua orang berhak memberi pandangan, mereka boleh berkata apa yang mereka mahu,” kata Simeone.

Ia bukan kebetulan di mana kebangkitan Griezmann adalah bersamaan dengan konsistensi Atletico, yang juga kelihatan tepat menjelang perlawanan pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Juventus dan juga perlawanan liga menentang Real Madrid pada awal bulan hadapan.

Sevilla memintas Real Madrid ke tangga ketiga selepas membelasah Levante 5-0 sementara Valencia naik ke tangga ketujuh selepas menewaskan Villarreal 3-0 dan Leganes dan Eibar seri 2-2. — AFP

Advertisement