Anda di sini

ASAS kecewa hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia dibatal

Advertisement
 (Gambar fail) atlet paralimpik negara Jamery Siga ketika beraksi di Pusat Akuatik Sarawak.
Atlet paralimpik negara Jamery Siga ketika beraksi di Pusat Akuatik Sarawak. - Gambar fail Bernama 

KUCHING: Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) melahirkan kekecewaan atas keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) untuk membatalkan hak penganjuran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

Setiausahanya, Anthony Kong berkata kejohanan itu merupakan peluang sebagai pembuka mata serta landasan untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Sarawak mampu menganjur acara antarabangsa selain badminton. 

"Saya amat sedih, kecewa apabila Sarawak kehilangan hak untuk menjadi tuan rumah untuk acara berprestij ini.

"Kita amat memerlukannya untuk membuktikan keupayaan 'Agi Idup Agi Ngelaban' Sarawak," katanya kepada The Borneo Post.

ASAS katanya, bagaimanapun terpaksa akur dengan keputusan itu serta menghormati dasar kerajaan untuk tidak menjalin hubungan diplomatik dengan Israel. 

Keputusan membatalkan hak kejohanan yang dijadualkan berlangsung mulai 29 Julai hingga 4 Ogos ini di Kuching, dibuat pada mesyuarat lembaga jawatankuasa itu di London setelah Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberi jaminan yang diperlukan bahawa perenang para Israel boleh mengambil bahagian, bebas daripada diskriminasi dan selamat semasa kejohanan itu.

Setakat Ahad, 64 negara mengesahkan penyertaan melibatkan 1,678 atlet dan pegawai. 

Keputusan menyekat penyertaan Israel merupakan Dasar Luar Negara Malaysia yang mana Sarawak sebagai salah satu negeri dalam Malaysia perlu menghormatinya.

Advertisement