Anda di sini

MED yakin PKS mampu cecah 41 peratus KDNK menjelang 2020

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) yakin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mampu menyumbang 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 seperti ditetapkan dalam Rangka Kerja Keusahawanan Kebangsaan (NEF).

Timbalan Menterinya Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata walaupun kedudukan ekonomi dunia semasa tidak menentu, sasaran itu boleh dicapai dengan memanfaatkan pasaran halal dan produk Islam selain menerusi inovasi dan pertumbuhan yang diterajui produktiviti.

“Ya, lebih banyak perlu dilakukan untuk mencapai sasaran, namun saya percaya kita mampu mencapainya. Sumbangan KDNK daripada PKS perlu diperluas melebihi lapan peratus (tahun ini),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis anugerah Cabaran Inovasi Islam (IIC) yang dianjurkan bersempena Ekspo Halal Malaysia 2019 di sini kelmarin.

Mohd Hatta berkata setakat ini PKS menyumbang kira-kira 37 peratus kepada KDNK.

Beliau berkata industri halal dan produk Islam kini muncul sebagai sektor baharu dan mendapat pasaran tinggi dalam negara dan di peringkat global, dengan nilai pasaran tahunan melebihi RM7.6 trilion.

“Banyak peluang untuk usahawan tempatan yang mampu dan harus menembusi permintaan global produk dan perkhidmatan halal yang semakin berkembang, selain inovasi baharu berasaskan undang-undang Islam.

“Pembangunan inovasi yang berilhamkan Islam adalah kunci bagi memudahkan usahawan tempatan meningkatkan perniagaan kecil-kecilan menjadi perniagaan berskala besar yang mampu mengakses pasaran luar,” katanya.

Mohd Hatta berkata kebiasaannya firma inovatif memberi percentil tertinggi bagi firma pertumbuhan tinggi yang menyumbang 46 peratus peluang pekerjaan baharu dalam ekonomi.

“Sehubungan itu, bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, penting bagi kami untuk menghasilkan PKS yang inovatif dalam negara.

“Kerajaan komited untuk membantu PKS membangunkan inovasi teknologi dan berimpak tinggi yang memenuhi keperluan pasaran Islam,” katanya.

IIC merupakan Program Pemecut Teknologi Tinggi Halal tahunan yang bertujuan menyediakan PKS Malaysia untuk berada di barisan hadapan dalam membangunkan perniagaan halal yang berjaya dan merebut peluang dalam pasaran halal dunia.

Pada majlis itu, 15 daripad 66 syarikat yang dicalonkan, menerima anugerah IIC. — Bernama

Advertisement