Anda di sini

Dua juragan ditahan seludup barang kawalan

Advertisement
SUSPEK ditahan semasa membawa tiga tong LPG tanpa surat kebenaran daripada KPDNHEP.
SUSPEK ditahan semasa membawa tong LPG tanpa surat kebenaran daripada KPDNHEP.

TAWAU: Dua juragan perahu ditahan di perairan Sg Hj Kuning, Pulau Sebatik, di sini, kira-kira jam 4.30 petang pada Khamis, kerana disyaki membawa barang kawalan tanpa kebenaran.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kedua-dua suspek, 17 dan 24 tahun, ditahan bersama dua perahu yang mereka kemudikan.

"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM28, 000 melibatkan tujuh tong gas petroleum cecair (LPG) termasuk dua perahu dan dua enjin sangkut berkapasiti 15 kuasa kuda," katanya.

Pajeri berkata kejayaan itu hasil Operasi Gelora susulan kegagalan suspek mengemukan Surat Kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga asing berusia 48 tahun ditahan bersama barang rampasan bernilai kira-kira RM51, 800 melibatkan rokok-rokok seludup serta sebuah kenderaan.

"Rampasan rokok melibatkan 200 bungkus rokok Apache, 60 bungkus Astro dan 60 bungkus L.A. Menthol, hasil pemeriksaan di dalam karung plastik," katanya, di sini hari ini.

ROKOK turut ditemui dari dalam kenderaan suspek.
ROKOK turut ditemui dari dalam kenderaan suspek.

Menurutnya, suspek ditahan semasa memunggah karung itu di hadapan sebuah kedai di Jalan Pasar Tawau dari sebuah kenderaan kira-kira jam 8.40 malam, Jumaat.

Beliau berkata suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Penahanan dua juragan dan muatan tong LPG dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala kes suspek dengan rampasan rokok berdasarkan Akta Kastam 1967 (Pindaan 2018) dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

  • oleh
  • Advertisement