Anda di sini

Eksport kayu dan produk kayu Malaysia diunjur meningkat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Eksport kayu dan produk kayu Malaysia diunjur meningkat kepada RM23 bilion pada 2019 daripada RM22.30 bilion dianggarkan tahun lepas berikutan permintaan kukuh dari India dan langkah Malaysia mencari pasaran baharu di Oceania.

Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Norchahaya Hashim berkata strategi untuk menerokai pasaran baharu juga akan mengurangkan impak daripada ketidaktentuan global, dengan mengambil kira perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, sekatan AS ke atas Iran dan impak Brexit ke atas pertumbuhan ekonomi Kesatuan Eropah yang akan menjejaskan permintaan terhadap produk kayu tempatan.

“Kami juga akan terus mengusahakan bagi produk kayu dieksport ke AS dan Jepun, dengan 17 peratus produk kita dieksport ke AS dan 18 peratus ke Jepun,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan prestasi pasaran kayu 2018 dan unjuran 2019 di sini, semalam.

Beliau berkata eksport kayu dan produk kayu Malaysia bernilai RM20.45 bilion pada akhir 2018, dan menurutnya MTIB yakin RM23.22 bilion yang disasarkan tahun lepas dapat dicapai.

Dalam perkembangan lain, Norchahaya berkata Malaysia tidak dapat mencapai sasarannya bagi 60 peratus eksport produk tambah nilai dan 40 peratus eksport produk utama yang digariskan dalam Dasar Perindustrian Kayu Negara 2009-2020.

Bagi tempoh Januari-November 2018, eksport komoditi negara itu adalah sebanyak 54.1 peratus, dengan nilai eksport produk tambah nilai sebanyak 45.9 peratus.

Beliau berkata bekalan bahan mentah serta kurangnya inovasi dan teknologi sebagai antara kekangan dihadapi sektor itu.

“Bagi 2018, kita juga mungkin menyaksikan nilai import kayu dan produk kayu akan meningkat kepada kira-kira RM5 bilion daripada RM4.68 bilion dicatatkan setakat pada 2017 berikutan peningkatan pengimportan bahan mentah dari China,” katanya dan menambah inovasi negara bagi bahan mentah alternatif masih di peringkat awal.

Antara bahan mentah alternatif berkenaan adalah batang kelapa sawit dan pokok getah.

Beliau turut menjelaskan bagi tempoh Januari-November 2018, eksport produk tambah nilai Semenanjung Malaysia sebanyak 65.4 peratus (RM9.16 bilion), dengan Sabah menyumbang pada kadar kecil sebanyak 5.6 peratus (RM78.16 juta dan Sarawak sebanyak 2.8 peratus (RM140.66 juta).

Berhubung program penanaman semula hutan negara, beliau berkata program itu sudah mencapai 87 peratus daripada sasaran seluas 140,000 hektar ditanam dengan pokok.

Kerajaan telah memperuntukkan RM1.05 bilion bagi keseluruhan program itu, yang bermula pada 1997, katanya dan menurutnya lapan spesies pokok terlibat dalam projek itu termasuk pokok getah, mahogani dan terbaru adalah buluh. — Bernama

Advertisement